KUANTAN – Seorang wanita bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Jalan Tanah Putih, berhampiran Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta pendarahan organ dalaman manakala anaknya mengalami pendarahan organ dalaman dan gegaran otak.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan di zon merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Tanjung Lumpur menghala ke Gambang.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu yang bergerak di lorong kanan dipercayai tidak sempat mengelak selepas kedua-dua mangsa tiba-tiba melintas jalan dari esplanade Kuantan menghala HTAA
“Akibat pelanggaran itu, wanita dan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan sebelum dibawa ke HTAA untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas yang disediakan untuk melintas jalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






