Ibu bapa digesa pantau anak elak terjebak vape dadah furanyl fentanyl

LocalHealth & Fitness
13 May 2026 • 7:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu bapa digesa pantau anak elak terjebak vape dadah furanyl fentanyl
Laporan Sinar Harian pada bulan lalu berhubung kejayaan Op Vape 1.0 yang berjaya membongkar penjualan furanyl fentanyl di kedai vape.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga diingatkan supaya sentiasa memantau pergerakan serta perubahan tingkah laku anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape yang dipercayai turut mengandungi dadah furanyl fentanyl.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan produk vape yang mengandungi bahan terlarang itu tidak dipasarkan secara terbuka, sebaliknya hanya ditawarkan kepada individu tertentu.

“Kita percaya penjualan vape yang mengandungi dadah ini tidak dibuat secara terbuka. Jika ada, ia dipercayai hanya untuk individu terpilih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu lebih peka terhadap keberadaan anak masing-masing serta memerhatikan sebarang perubahan tingkah laku.

“Jika ada anak yang terlibat dalam penggunaan vape, ibu bapa perlu mengambil tahu perubahan pada diri mereka. Jika timbul keraguan, boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya akan melancarkan Op Vape 2.0 dalam masa terdekat susulan kejayaan Op Vape 1.0 yang dilaksanakan dari 13 hingga 17 April lalu di seluruh negara.

Pada 21 April lalu media melaporkan polis telah melaksanakan pemeriksaan di 1,670 premis dalam operasi tersebut.

Hasil operasi itu, sebanyak 8,091 peranti dan 5,257 katrij rokok elektronik dirampas bersama pelbagai jenis dadah seberat 19.67 kilogram (kg).

Antara rampasan ialah cecair furanyl fentanyl (18.55 kg), serbuk methylenedioxy methamphetamine (MDMA) (0.66 kg), cecair tetrahydrocannabinol (THC) (0.012 kg) serta air ketum (0.45 kg).

Hussein dilaporkan berkata, turut dirampas ialah cecair vape tanpa dadah seberat 186.54kg yang disiasat di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.6 juta, manakala nilai dadah sahaja sekitar RM2.88 juta.

Dalam operasi sama, 20 individu ditahan, dengan 13 daripadanya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tujuh lagi membabitkan pemilikan dan pengedaran bahan terlarang.

Selain itu, 142 premis perniagaan vape diberi notis pematuhan, lima premis disita dan 1,148 kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati terdapat usaha sindiket untuk memperkenalkan produk rokok elektronik mengandungi furanyl fentanyl ke pasaran tempatan, namun bahan cecair dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara.

Menurutnya, fentanyl merupakan dadah yang sangat berbahaya kerana kesannya dianggarkan 50 hingga 100 kali ganda lebih kuat berbanding heroin atau morfin.