Ibu Bapa & Murid Tergamam, Lori Hilang Kawalan Rempuh 13 Kenderaan Depan Sekolah

Entertainment
28 Feb 2025 • 4:52 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kira-kira 13 buah kenderaan berhampiran sebuah sekolah di Putatan, Sabah pada pagi tadi.

Menurut sumber, insiden terbabit berlaku sekitar jam 11.20 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan Tansau.

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, memperlihatkan detik cemas apabila lori tersebut meluru laju sebelum merempuh deretan kenderaan yang diparkir di kawasan berhampiran sekolah.

Dari rakaman lain, seorang penunggang motosikal turut kelihatan sempat mengelak daripada terkena rempuhan sambil menyelamatkan seorang kanak-kanak dipercayai anaknya yang berada di lokasi kejadian.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut, namun beberapa individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan serta kenderaan yang dirempuh mengalami kerosakan teruk.

Pemandu lori didakwa melarikan diri

Menurut saksi di tempat kejadian, lori tersebut dipandu dengan kelajuan tinggi di kawasan sekolah sebelum hilang kawalan dan merempuh kenderaan di situ.

Sumber mengatakan, pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian berlaku.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan pemandu lori yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.