Ibu bapa sebagai rakan kongsi pendidikan

LocalFamily & Parenting
8 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu bapa sebagai rakan kongsi pendidikan

RANCANGAN Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dilancarkan pada Januari lalu dengan slogan ‘Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama’.

Ramai ibu bapa mungkin hanya mendengar, membaca dan mengambil kisah tentang beberapa kata kunci seperti kecerdasan buatan (AI), dwibahasa, literasi, numerasi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kemudian, kita meneruskan rutin harian seperti biasa. Anak dihantar ke sekolah pada waktu pagi, dijemput pulang pada sebelah petang, kerja rumah disemak sekilas lalu dan tanggungjawab dianggap selesai.

Hakikatnya, RPM 2026–2035 tidak pernah meletakkan seluruh beban pembentukan generasi baharu di atas bahu guru semata-mata. Sebaliknya, rancangan ini mengajak seluruh masyarakat, khususnya ibu bapa, menjadi rakan kongsi dalam proses pendidikan.

Pendidikan bukan projek sekolah, sebaliknya budaya keluarga. Kita sering terlupa, seorang anak hanya berada di sekolah sekitar enam atau tujuh jam sehari.

Selebihnya dihabiskan di rumah, bersama keluarga, telefon pintar, televisyen, media sosial, permainan video dan pengaruh masyarakat.

Maka, bagaimana mungkin sekolah dipersalahkan sepenuhnya jika anak gagal mengawal emosi, tidak menghormati orang lain atau hilang minat membaca?

RPM 2026–2035 menegaskan pembentukan insan sejahtera yang seimbang dari segi  akademik, emosi, psikologi serta adab dan sahsiah. Sasaran ini amat besar, malah lebih besar daripada memperoleh A dalam peperiksaan, memasuki universiti ternama dan menguasai teknologi terkini.

Insan sejahtera ialah individu yang tahu menggunakan ilmu dengan bijaksana. Dia mampu berfikir secara kritis tanpa kehilangan belas ihsan, mahir teknologi tanpa menjadi hamba kepada teknologi, serta mampu bersaing tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan.

Persoalannya, siapakah guru pertama yang mengajar seorang anak mengenal kasih sayang, sabar, amanah dan hormat? Jawapannya bukan guru di sekolah, sebaliknya ibu bapa di rumah.

Tiada aplikasi telefon boleh menggantikan pelukan seorang ibu. Tidak ada chatbot oleh menggantikan perbualan seorang ayah dengan anaknya selepas makan malam. Tidak ada kecerdasan buatan (AI) mampu menggantikan teladan yang lahir daripada kehidupan sebenar.

Atas sebab itulah saya amat percaya, ibu bapa perlu benar-benar memahami kandungan serta aspirasi RPM 2026–2035.

Pelan ini bukan sekadar dokumen dasar kerajaan. Ia sebenarnya peta perjalanan pendidikan negara untuk sedekad akan datang.

Ia memberi penekanan terhadap ‘keluwesan’ iaitu keupayaan sistem pendidikan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan murid, di samping ‘kemampanan’  yang menghubungkan pendidikan dengan kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi.

Namun, keluwesan bukan alasan untuk ibu bapa menjadi longgar dalam mendidik anak. Sebaliknya, ibu bapa juga perlu lebih luwes iaitu mereka perlu lebih fleksibel untuk belajar semula.

Ramai ibu bapa hari ini masih mengukur kejayaan anak berdasarkan jumlah A dalam peperiksaan. RPM pula menetapkan sasaran jauh lebih menyeluruh iaitu penguasaan literasi dan numerasi pada usia awal, kemahiran dwibahasa, keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif, kesejahteraan sosioemosi, adab yang baik serta kecergasan fizikal.

 

Image from: Ibu bapa sebagai rakan kongsi pendidikan
RUMAH ialah tempat pertama anak belajar tentang nilai, disiplin dan kehidupan.

ANAK BELAJAR DARIPADA TELADAN 

Semua komponen di atas saling berkait. Seorang anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan perlu juga tahu mengawal kemarahan.

Individu yang mahir menghasilkan kandungan digital perlu tahu pertahankan integriti.

Budaya membaca juga perlu bermula di rumah. Sukar mengharapkan anak mencintai buku jika sepanjang hari, mereka hanya melihat ibu bapa menatal media sosial.

Anak belajar melalui pemerhatian jauh lebih banyak daripada arahan. Sesungguhnya,  anak-anak belajar meniru amalan ibu bapa sebelum belajar memahami.

Begitu juga dalam aspek penggunaan teknologi. RPM mengiktiraf kepentingan perkembangan digital dan AI. Namun, teknologi hanyalah alat. Tanpa bimbingan keluarga, alat itu boleh menjadi gangguan yang merosakkan tumpuan, empati dan disiplin.

Ibu bapa boleh menjadi contoh dalam penggunaan teknologi secara beretika. Wujudkan waktu makan tanpa telefon dan luangkan masa berbual tanpa gangguan skrin. Jadikan rumah sebagai ruang interaksi manusia, bukan sekadar tempat mengecas peranti.

Pada masa sama, ibu bapa wajar menjalin hubungan lebih rapat dengan sekolah. Jangan hanya muncul apabila anak menerima surat amaran atau keputusan peperiksaan diumumkan. 

Hadirlah ke program sekolah, berbincang dengan guru, bertanya perkembangan anak dan bersama-sama mencari penyelesaian apabila timbul masalah.

Kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang hakikat guru bukan pekerja yang diupah untuk membesarkan anak orang lain. Guru ialah rakan pendidikan yang mampu memberikan sentuhan ajaib jika mendapat kerjasama ibu bapa.

Percayalah, hubungan saling mempercayai antara ibu bapa dan guru akan menghasilkan persekitaran yang lebih sihat untuk perkembangan anak. Sebaliknya, budaya menyalahkan guru setiap kali anak gagal hanya akan merosakkan ekosistem pendidikan yang cuba dibina melalui RPM.

Sesungguhnya, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang. Hasilnya tidak muncul dalam masa seminggu atau setahun. Ia mungkin hanya dapat dilihat apabila seorang anak dewasa, memasuki alam pekerjaan, membina keluarga dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

Saya meneliti dokumen RPM 2026–2035 terbitan Kementerian Pendidikan (KPM) setebal 375 halaman sebelum menulis rencana ini. Ternyata ia membuka ruang kepada transformasi pendidikan negara.

Namun begitu, sebesar mana pun cita-cita sesebuah dasar, kejayaan tidak akan lahir daripada dokumen yang tersimpan kemas di rak pejabat. Kejayaan sebenar akan lahir di meja makan keluarga, di ruang tamu tempat ibu bapa mendengar cerita anak-anak, di rak buku yang sentiasa bertambah dan pada setiap detik apabila ibu bapa memilih untuk hadir sebagai pendidik pertama serta pendidik sepanjang hayat.

Kita perlu sentiasa sedar dan ingat, sekolah boleh mengajar ilmu, guru boleh membimbing bakat murid dan kerajaan boleh menyediakan dasar terbaik. Namun, hanya ibu bapa mampu membina jiwa anak-anak dan menjamin kemenjadian mereka. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

The post Ibu bapa sebagai rakan kongsi pendidikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved