
KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang pesara guru di sebuah sekolah menengah membayar ganti rugi keseluruhan sebanyak RM88,069 kepada pelajarnya selepas ditampar sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran di dalam kelas kira-kira tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Rosli Yusoff selepas mahkamah membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan mangsa melalui ibunya terhadap guru berkenaan dan tiga defendan lain.
Mangsa, Mohamad Adam Maidin, 21, dan ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, sebagai plaintif memfailkan saman ke atas guru terbabit, Isamuddin Ismail, 63, yang juga Penolong Kanan Pentadbiran dan guru subjek Sejarah sebagai defendan pertama.
Mohd. Rosli berkata, guru terbabit didapati melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar muka termasuk kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan dan kiri dari arah belakang.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa kena ‘tampar kapit’. Mahkamah mengambil kira keterangan doktor dan beberapa ujian pendengaran yang dijalankan terhadap mangsa untuk membuktikan kecederaan dialaminya.
“Mahkamah turut mendapati guru berkenaan sebagai seorang pendidik sepatutnya mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati ke atas pelajar,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi keseluruhan sebanyak RM88,069 kepada plaintif.
Berdasarkan notis tuntutan, kejadian berlaku pada 28 Januari 2019 ketika Mohamad Adam berusia 14 tahun dan berada di tingkatan dua sekolah tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi apabila remaja itu didakwa berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru terbabit datang dari arah belakang dan menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.
Tamparan itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada muka, kedua-dua telinga selain mengadu pening, kurang pendengaran dan bunyi berdesing di dalam telinga.
Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati, remaja itu mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma dipercayai ditampar.
Kejadian itu menyebabkan mangsa trauma sehingga terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah.
Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif, Mohd. Syukran Mohd. Noordin berkata, mahkamah membenarkan tuntutan anak guamnya terhadap empat defendan selepas mendapati terdapat kecuaian dan tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian tersebut.
“Jumlah RM88,069 itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 (ganti rugi khas), RM11,250 (ganti rugi teladan), RM11,250 (ganti rugi teruk) selain faedah dan kos (RM20,000),” katanya.
Menurutnya, saman sivil itu difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021 iaitu kira-kira dua tahun selepas kejadian.
Dalam tuntutan berkenaan, pihak plaintif turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim.
Dalam pada itu, Noor Azleen ketika ditemui berkata, dia menyedari perubahan terhadap anaknya ketika Mohamad Adam pulang dari sekolah apabila wajah remaja itu kelihatan merah, murung dan tidak bermaya selain mengadu sakit kepala.
Menurutnya, seorang rakan sekelas mangsa memaklumkan bahawa Mohamad Adam ditampar guru berkenaan dan meminta supaya membawa mangsa mendapatkan rawatan.
“Anak saya takut untuk kes sekolah sehingga saya terpaksa tukarkan dia ke sekolah lain. Selepas kira-kira dua hingga tiga tahun, baru semangatnya pulih,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara guru ‘tampar kapit’ pelajar diarah bayar ganti rugi lebih RM88,000 appeared first on Kosmo Digital.






