Ibu Hamil Bersalin Tepi Jalan, Orang Awam Datang Bantu Buat Ramai Terharu

LocalFamily & Parenting
12 Aug 2025 • 3:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ibu Hamil Bersalin Tepi Jalan, Orang Awam Datang Bantu Buat Ramai Terharu

Malaysia bukan sekadar tanah air berbilang kaum. Kita adalah satu keluarga besar, disatukan oleh rasa hormat, kasih sayang dan keprihatinan.

Sejak kecil, kita diajar untuk saling menghormati, mengasihi, dan membantu, tanpa mengira warna kulit, bahasa, atau agama.

Semangat inilah yang jelas terpancar dalam sebuah video tular baru-baru ini, memaparkan beberapa orang awam membantu seorang ibu yang terpaksa bersalin di tepi jalan.

Kisah ini dikongsikan menerusi laman TikTok oleh seorang wanita bernama Bhavani Thevi, yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan bertindak membantu.

“Ingatkan kemalangan…”

Menurut Bhavani, ketika kejadian dia bersama suaminya sedang memandu menuju ke rumah ibadat.

Dalam perjalanan, mereka ternampak seseorang turun dari motosikal di tepi jalan. Menyangka berlaku kemalangan, pasangan itu segera bergegas untuk membantu.

Namun, sebaik menghampiri, Bhavani melihat seorang wanita muda terbaring di atas tanah sambil merintih berulang kali, “Anak saya nak keluar.”

Jadi ‘bidan terjun’ dengan bantuan jururawat di talian

Tanpa membuang masa, Bhavani segera menghubungi ambulans. Namun, keadaan menjadi semakin genting apabila kepala bayi sudah kelihatan.

Dengan panduan seorang jururawat yang bercakap di talian, Bhavani memberanikan diri membantu proses kelahiran itu.

“Saya pegang kepala bayi itu perlahan-lahan, dan tidak lama kemudian, bayi itu selamat lahir dalam tangan saya,” katanya.

Kongsi Bhavani, jururawat turut mengarahkan agar tali pusat bayi diikat menggunakan tali yang ada di situ.

Semua proses tersebut berlangsung hampir 40 minit sebelum ambulans tiba untuk membawa ibu dan bayi ke hospital.

Dalam pada itu, Bhavani turut memaklumkan terdapat dua orang wanita serta seorang pemandu e-hailing yang juga sama membantu ketika kejadian.

“Terima kasih orang baik,” – Netizen

Ribuan komen membanjiri video tersebut di media sosial.

Ada yang mengakui terharu melihat keberanian Bhavani, manakala yang lain memuji semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.

Tidak kurang juga yang mengingatkan kita semua harus lebih peka kerana nyawa kadangkala bergantung pada tindakan kita di saat genting.