Ibu kandung, bapa tiri antara empat sekeluarga didakwa bunuh kanak-kanak lapan tahun

3 Apr 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Empat sekeluarga didakwa di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan, minggu lepas

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita bersama tiga ahli keluarga lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak kandungnya berusia sembilan tahun, minggu lalu.

Tertuduh, M Savathri, 28, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R Prabakaran, namun tiada pengakuan direkodkan.

Turut didakwa atas pertuduhan sama, suami tertuduh, M Satis Kumar, 27, yang merupakan bapa tiri mangsa, serta ibu bapa Satis, SC Veeraletchumi, 53, dan M Murali, 49.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Thanavitha di sebuah rumah di Taman Sungai Mas, Taiping dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada waktu pagi, 26 Mac 2026.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Prosiding itu turut dihadiri tiga peguam pemerhati bagi mewakili keluarga mangsa iaitu Dinesh Muthal, Devanisan Ganesan dan Low Tze Ken.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.

Bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan di bahagian kepala dan leher disebabkan trauma tumpul.