
KOTA BHARU: Luluh semangat, hilang kata-kata dan terduduk saya ketika itu.”
Itulah luahan seorang ibu, Aida Che Mustafa, 44, apabila dimaklumkan anak ketiganya yang baru berusia lapan tahun kehilangan penglihatan mata kanan akibat radang sinus sphenoid.
Bagaimanapun, kelegaan kembali menyelubungi hati Aida selepas anaknya, Nur Adelia Azzahra Rusli berjaya menjalani pembedahan dikendalikan pakar bedah di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, di sini, Khamis lalu, sekali gus membolehkannya melihat semula pada keesokan harinya.
Menurut Aida, masalah mata kanan anaknya itu sebenarnya sudah diketahui sejak setahun lalu selepas Nur Adelia Azzahra membuat pemeriksaan di reruai kesihatan sempena satu program di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak pada Mei atau Jun tahun lalu.
Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan kepadanya mengenai keputusan pemeriksaan berkenaan, namun dia menyangka masalah tersebut hanyalah rabun biasa seperti yang dialami kakaknya.
“Saya ada memaklumkan cikgunya bahawa Nur Adelia Azzahra Rusli memerlukan pemeriksaan mata dan diberitahu bahawa pihak HPUSM akan buat program pemeriksaan mata di Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok pada Rabu lalu. Jadi saya bawa dia untuk diperiksa di situ.
“Nur Adelia Azzahra kemudiannya dirujuk ke HPUSM dan apabila dimaklumkan dia menghidap radang sinus sphenoid dan kehilangan penglihatan mata kanannya, luluh semangat, hilang kata-kata dan terduduk saya ketika itu,” katanya ketika ditemui di HPUSM Kubang Kerian, di sini semalam.
Aida memberitahu, dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak mengambil serius masalah kesihatan yang disampaikan anaknya, lebih-lebih lagi Nur Adelia Azzahra dilihat selesa menjalani kehidupan seperti biasa.
Sementara itu, Pakar Bedah Pediatrik, Telinga, Hidung dan Tekak (ORL-HNS) HPUSM, Dr. Azliana Aziz yang mengetuai pembedahan berkenaan berkata, pihaknya amat gembira dan bersyukur kerana berjaya merawat kes kesihatan yang sangat jarang ditemui itu.
Katanya, proses saringan dibuat pada Khamis, dua minggu lalu dan ketika Nur Adelia Azzahra dimasukkan ke HPUSM pada Selasa lalu, tahap penglihatannya sudah berada pada skala 6/20 dan diklasifikasikan sebagai kes kecemasan.
“Rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dijalankan pada Rabu lalu berjaya mengesan ia berkait dengan masalah hidung dan penglihatan mencapai tahap kebutaan. Bermula dari situlah kes ini diserahkan kepada saya.
“Kita buat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada Khamis dan ambil keputusan buat pembedahan pada hari sama. Alhamdulillah pembedahan berjaya dan pada hari Jumaat, Nur Adelia Azzahra sudah dapat melihat kembali,” katanya.
Tambahnya, kes radang sinus sphenoid yang dihidapi Nur Adelia Azzahra dianggap amat jarang ditemui kerana kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tanda ketidakselesaan atau tanda-tanda fizikal.
“Lebih menakjubkan adalah, hasil imbasan menunjukkan tisu sinus sphenoid hanya berada pada sebelah kanan dan tidak meliputi keseluruhan rongga hidung sebagaimana kes-kes lain,” ujarnya. – UTUSAN
The post Ibu lega anak selamat daripada buta appeared first on Utusan Malaysia.




