
KOTA BHARU – Seorang ibu mampu menarik nafas lega apabila anak ketiganya terselamat daripada buta apabila berjaya menempuh pembedahan radang sinus sphenoid yang dikendalikan pakar bedah di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini pada Khamis lalu.
Aida Che Mustafa, 44, berkata, Nur Adelia Azzahra Rusli, 8, mengetahui mata kanannya bermasalah sejak setahun lalu apabila dia sendiri pergi membuat pemeriksaan di reruai kesihatan pada sebuah program di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak.
Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu telah memaklumkan keputusan pemeriksaan itu kepadanya, tetapi dia menganggapnya hanya kes rabun biasa seperti dihidapi oleh kakaknya, dan berjanji akan membawa kanak-kanak itu untuk membuat cermin mata.
“Nur Adelia Azzahra memerlukan pemeriksaan mata sebelum pihak sekolah memaklumkan HPUSM akan buat program pemeriksaan mata di Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok pada Rabu lalu. Jadi, saya bawa dia untuk diperiksa di situ.
“Nur Adelia Azzahra kemudian dirujuk ke HPUSM. Saya hilang kata-kata dan terduduk ketika dimaklumkan dia menghidap radang sinus sphenoid,” katanya ketika ditemui di HPUSM Kubang Kerian, di sini hari ini.
Aida memberitahu, dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak mengambil serius apabila anaknya memaklumkan masalah kesihatan, lebih-lebih lagi apabila permata hasil perkongsian hidup dengan Rusli Rajab, 43 yang merupakan kakitangan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Bachok itu dilihat selesa menjalani kehidupan seperti biasa.
“Selepas Nur Adelia Azzahra dapat kembali penglihatannya dan radang sinus sphenoid dihidapinya berjaya dirawat, saya rasa amat gembira,” katanya.
Sementara itu, Pakar Bedah Pediatrik, Telinga, Hidung dan Tekak (ORL-HNS) HPUSM, Dr. Azliana Aziz yang mengetuai pembedahan berkenaan berasa amat gembira dan bersyukur dengan kejayaan merawat satu kes kesihatan yang sangat jarang ditemui.
Menurutnya, proses saringan dibuat kira-kira dua minggu lalu dan ketika Nur Adelia Azzahra dimasukkan ke HPUSM pada Selasa lalu, tahap penglihatannya sudah berada pada skala 6/20 dan diklasifikasikan sebagai kes kecemasan.
“Rawatan Pengimejan Resonans Magnetik dijalankan pada Rabu lalu berjaya mengesan ia berkait dengan masalah hidung dan penglihatan mencapai tahap kebutaan. Bermula daripada situ, kes itu diserahkan kepada saya.
“Kita buat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada Khamis dan ambil keputusan buat pembedahan pada hari sama. Alhamdulillah, pembedahan berjaya dan pada hari Jumaat, Nur Adelia Azzahra sudah dapat melihat kembali,” ujarnya.
Beliau berkata,, kes radang sinus sphenoid dihidapi Nur Adelia Azzahra dianggap sebagai amat jarang ditemui berikutan kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tanda ketidakselesaan atau sebarang tanda-tanda fizikal.
“Lebih menakjubkan adalah, hasil imbasan menujukkan tisu sinus sphenoid hanya berada pada sebelah kanan dan tidak meliputi keseluruhan rongga hidung seperti kes-kes lain,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu syukur anak hidap radang sinus sphenoid terselamat daripada buta appeared first on Kosmo Digital.





