
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkongsi berita duka pemergian ibu mentuanya.
Menerusi Insta Story, beliau berkongsi pemergian pada hari ke-20 Ramadan.
"Al-Fatihah dan salam takziah Allahyarham Jamaliah binti Ngah yang telah kembali ke rahmatullah pada 10 Mac 2026.
Ya ALLAH ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkan dia, muliakanlah tempat tinggalnya.
"Jadikan syurga tempatnya, al-Fatihah," titipnya.
Dalam titipan di laman sosial Instagram, beliau berkongsi kesedihan dan menyifatkan Allahyarham seorang yang dekat di hati keluarga.
"Kehilangan yang amat dirasai oleh kami sekeluarga atas pemergian ibu mertua saya yang tercinta, Allahyarham Jamaliah Binti Ngah, yang telah kembali ke rahmatullah pada 5.30 pagi tadi.
"Allahyarham begitu dekat di hati kami sekeluarga. Keperibadiannya yang lembut dan senyuman yang sentiasa terukir di wajahnya akan sentiasa terpahat sebagai kenangan indah buat kami semua.
"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh," tulisnya.
Sementara itu, anak sulungnya, Nina Sabrina turut memuat naik hantaran duka kehilangan figura yang disapa Opah.
Menurut Nina, dia akan sentiasa merindui gelak tawa serta panggilan telefon Opah yang sering dibuat secara spontan.
"Semoga opah ditempatkan bersama para solehah.
"Saya akan terus merindui panggilan telefon yang random daripada Opah dan ceria tawanya," kongsi Nina.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kariah, Batu 10 Cheras, Selangor.


