
KUALA LUMPUR – Pemergian pelakon Along Eyzendy nyata meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja buat keluarga, malah rakan-rakan seperjuangan dalam dunia seni.
Antara yang paling terasa kehilangannya ialah pelakon dan pengarah, Namron, yang berkongsi coretan menyentuh hati menerusi Facebook miliknya pada Selasa.
Menurut Namron, dia mengambil masa sebelum mampu menulis tentang arwah kerana terlalu berat untuk menerima hakikat kehilangan itu.
Katanya, perkenalan mereka bermula sejak zaman belajar di Akademi Seni Kebangsaan.
“Along junior saya masa belajar dulu. Mula-mula dia masuk aliran muzik, main trumpet. Tapi walaupun pelajar muzik, dia rapat sangat dengan budak-budak teater.
“Akhirnya dia tukar haluan sebab minat lakonan terlalu kuat,” katanya.
Dari belakang pentas sampai ke layar perak
Namron turut mengimbau detik awal Along membantu produksi teaternya.
Ketika pementasan Look Back In Anger, Along bertanggungjawab meniup trumpet di belakang pentas bagi menggantikan pelakon utama yang tidak mahir alat muzik itu.
“Setiap kali watak Jimmy tiup trumpet, bunyi sebenar datang dari Along. Pelakon cuma gayakan saja,” kongsinya.
Bakat Along makin terserlah apabila diberi watak Cassius dalam teater arahannya, GEDEBE, adaptasi karya Shakespeare. Persembahannya menerima banyak maklum balas positif sehingga membuka lebih banyak peluang lakonan.
Malah, apabila naskhah itu diangkat ke layar perak, Along terus dikekalkan, menjadikan ia filem pertama buat mereka berdua.
Along juga pernah membintangi filem Crossroad: One Two Jaga, membawa watak polis korup bernama Zul. Menariknya, watak kecil itu dikembangkan kerana impaknya yang kuat.
Filem tersebut kemudian dipilih sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30.
“Dia terlalu lembut orangnya”
Bukan sekadar rakan set, Namron menyifatkan Along sebagai insan yang sangat ‘warm’ dan menyenangkan.
“Sepanjang saya kenal dia, tak pernah sekali pun dia tinggikan suara. Soft spoken sangat. Kalau dia ada, suasana jadi tenang.
“Cara dia layan saya pun macam abang-adik. Suka bergurau, tapi sentiasa kena tempat.”
Antara kenangan yang paling diingati ialah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Along ketika itu mengusahakan bisnes makanan secara dalam talian, menjual daging masak hitam.
Namron sempat membuat pesanan dan Along sendiri menghantar makanan ke rumahnya.
“Lepas hantar, dia borak kejap. Tak lama lepas tu dia hantar voice note. Bila saya dengar balik sekarang, rasa macam dia masih ada dekat dengan saya,” katanya sebak.
Disahkan meninggal dunia awal pagi Ahad
Terdahulu, Along disahkan meninggal dunia pada jam 12.16 pagi Ahad.
Arwah sebelum itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang susulan pendarahan serius dalam perut.
Pemergian Along bukan saja kehilangan buat industri seni, tetapi juga buat mereka yang pernah mengenalinya secara peribadi.
Seorang sahabat, seorang pelakon berbakat, dan seperti kata Namron, seorang manusia yang terlalu baik. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Pemergian Along Eyzendy Tinggalkan Luka Dalam Buat Namron: “Dia Tak Pernah Tinggikan Suara, Orangnya Terlalu Baik” appeared first on The Malaysian Update.



