Ibu muda didakwa bunuh bayi, sembunyikan kelahiran

25 Nov 2026 • 1:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ibu muda didakwa bunuh bayi, sembunyikan kelahiran

TAIPING – Seorang pembantu kedai makan yang ditahan selepas disyaki menikam bayi yang baru dilahirkan sampai mati baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Nurul Iman Najiha Abdullah, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret R. Prabakaran.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh bayi perempuan yang juga anak kandungnya di kawasan kebun kelapa sawit di belakang sebuah rumah di Kampung Panchor, Pantai Remis, antara 14 dan 16 November lalu.

Pertuduhan terhadap Nurul Iman dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun. Jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Di mahkamah sama, tertuduh dan remaja lelaki, Mohamad Aidil Eikmal, 19, turut didakwa atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat bayi itu secara sulit di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan itu, Nurul Iman Najiha mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, manakala Mohamad Aidil pula mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Beliau turut memohon tarikh baharu untuk serahan fakta kes dan jatuh hukum terhadap Mohamad Aidil.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd. Zaini merayu jaminan dikurangkan atas alasan mereka masih muda.

Kedua-dua tertuduh masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan dan buruh binaan dengan pendapatan RM1,100 dan RM1,400 sebulan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang.

Tarikh 4 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

The post Ibu muda didakwa bunuh bayi, sembunyikan kelahiran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved