TAIPING - Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya, minggu lepas.
Nurul Iman Najiha Abdullah, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa menikam mangsa sehingga maut di kawasan kelapa sawit di belakang sebuah rumah di Kampung Panchor, Pantai Remis dalam daerah Larut Matang dan Selama antara 14 hingga 16 November lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau tempoh pemenjaraan minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Nurul Iman Najiha juga didakwa menyembunyikan kelahiran itu bersama-sama teman lelakinya, Mohamad Aidil Eikmal, 19, dengan cara mengebumikan mayat bayi berkenaan secara sulit di lokasi dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohamad Aidil mengaku bersalah atas pertuduhan itu namun Nurul Iman Najiha minta dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Faizal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bagi pertuduhan menyembunyikan kelahiran manakala tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan membunuh yang dihadapi Nurul Iman Najiha.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan rendah kerana ini kesalahan pertama mereka dan pasangan itu masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan serta buruh binaan.
"Nurul Iman Najiha juga mempunyai masalah mental tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan,” katanya.
Prabakaran kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Nurul Iman Najiha melantik peguam serta mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Mohamad Aidil.- Bernama






