Pembantu Restoran Didakwa Bunuh Bayi Perempuan Baru Dilahirkan

25 Nov 2026 • 4:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pembantu Restoran Didakwa Bunuh Bayi Perempuan Baru Dilahirkan

TAIPING - Seorang pembantu restoran berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya, dipercayai ditikam sehingga mati kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Nurul Iman Najiha Abdullah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bayi kandungnya di sebuah kebun kelapa sawit di belakang sebuah rumah di Kampung Panchor, Pantai Remis, antara 14 hingga 16 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Dalam pertuduhan berasingan, Nurul Iman Najiha bersama Mohamad Aidil Eikmal, 19, didakwa secara bersama menyembunyikan kelahiran bayi perempuan itu secara rahsia dengan menanam mayatnya di lokasi dan dalam tempoh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nurul Iman Najiha mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, manakala Mohamad Aidil mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan mengikut Seksyen 318.

Beliau turut memohon satu tarikh baharu bagi penyerahan fakta kes dan hukuman terhadap Mohamad Aidil.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd Zaini merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan masih muda dan mempunyai pendapatan bulanan yang rendah.

Nurul Iman Najiha yang bekerja sebagai pembantu restoran memperoleh pendapatan RM1,100 sebulan, manakala Mohamad Aidil yang bekerja sebagai buruh binaan menerima RM1,400 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes Nurul Iman Najiha bagi pelantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Tarikh sama turut ditetapkan bagi penyerahan fakta kes, laporan sosial dan hukuman terhadap Mohamad Aidil. - Getaran, 25 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved