
KUALA LUMPUR - Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, kelihatan tenang dan mengangguk faham semasa membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Tertuduh yang masih belum berkahwin didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan tersebut dengan melakukan perbuatan yang berniat untuk menyebabkan kecederaan yang mungkin membawa maut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta Blok Rajawali, Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang, 20 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Walau bagaimanapun, tertuduh memohon ikat jamin atas alasan dia sedang menjaga kembar kepada bayi tersebut dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan, berserta syarat tambahan iaitu dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes, penyerahan dokumen, dan hukuman. – Getaran, 3 Jun 2026






