Wanita Bujang Campak Bayi Baru Dilahirkan Dari Tingkat 10

3 Jun 2026 • 2:56 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan selepas dipercayai mencampak mangsa dari tingkat 10 sebuah flat bulan lalu.

Menurut laporan Kosmo! Online, tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Wanita yang masih bujang itu dilihat tenang dan memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi perempuan berkenaan dengan niat mendatangkan kecederaan yang berkemungkinan mengakibatkan kematian.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan parkir sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, Johor Bahru pada 20 Mei lalu, antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang.

Image from: Wanita Bujang Campak Bayi Baru Dilahirkan Dari Tingkat 10

Foto: Threads dekmiyyqyllah_

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan tiada tawaran jaminan dibuat dan memohon masa untuk mengemukakan fakta kes serta cadangan hukuman.

Bagaimanapun, Nuran Batrisya merayu agar dibenarkan diikat jamin kerana perlu menjaga seorang lagi bayi yang merupakan kembar kepada mangsa.

Image from: Wanita Bujang Campak Bayi Baru Dilahirkan Dari Tingkat 10

Foto: Kosmo! Online

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Selain itu, tertuduh juga dilarang menghubungi atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Julai depan bagi tujuan pembentangan fakta kes dan penjatuhan hukuman.

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kematian seorang bayi perempuan yang dipercayai dicampak dari tingkat 10 sebuah PPR di Johor Bahru selepas kejadian itu tular di media sosial.

Berikutan siasatan tersebut, ibu kandung bayi berkenaan ditahan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 12 tengah hari semalam.

Sumber: Kosmo! Online (Mohd Sharkawi Londing)

The post Wanita Bujang Campak Bayi Baru Dilahirkan Dari Tingkat 10 appeared first on Borak Daily.