Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

3 Jun 2026 • 3:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 18 tahun dalam kemalangan jalan raya di Jalan Losong Feri bulan lalu.

Tertuduh, Asrizal Hisham Khalid, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memandu sebuah Volkswagen GTI secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18, dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang pada 19 Mei lalu di Jalan Losong Feri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kes berkenaan mendapat perhatian umum selepas kemalangan yang melibatkan sebuah Volkswagen GTI dan sebuah van mengorbankan remaja terbabit.

Siasatan sebelum ini mendapati Volkswagen GTI yang dinaiki lima ahli keluarga dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh struktur jalan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di pembahagi jalan.

Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van yang dinaiki mangsa bersama bapanya.

Akibat pelanggaran tersebut, struktur JKR berkenaan tumbang dan menembusi van, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kepalanya dikatakan terputus. - Getaran, 3 Jun 2026