KUALA KRAI – Seorang ibu empat kali pengsan selepas melihat dua anak dan dua cucunya cedera parah dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu – Kuala Krai di Kampung Pek di sini pada Isnin.
Anak ketiganya, Mohd Shahril Rosli berkata, ibunya, Hanita Yusoff, 48, tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan di dalam ambulans ketika mengiringi adik bongsunya, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, yang mengalami kecederaan koyakan teruk pada pangkal paha kanan, retak tulang punggung dan pendarahan dalam kepala selain tidak sedarkan diri.
**media[3517452]**
Seorang lagi adiknya, Muhammad Muskir Rosli, 14, pula mengalami patah kedua-dua paha dan cedera pada bahagian saraf.
Dua lagi anak saudaranya, juga cucu Hanita dan dua beradik, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, patah paha kanan dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, patah paha kanan serta pecah gusi.
“Ibu sempat sampai di lokasi kemalangan dan kebetulan Mas Siti Rosnani sedang dibawa ke dalam ambulans.
**media[3517442]**
“Dia ikut sekali dalam ambulans ke Hospital Machang, waktu dalam ambulans itulah dia pengsan tiga hingga empat kali,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini pada Isnin.
Dalam kejadian itu, motosikal jenis Honda C100 dinaiki kesemua mangsa berlanggar dengan kereta Honda Jazz dipandu guru wanita 39 tahun.
Guru berkenaan tidak cedera.
Mohd Shahril berkata, kesemua mangsa mulanya dibawa ke Hospital Machang dan kemudian dirujuk ke HSIP sebelum Mas Siti Rosnani dibawa pula ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kerana keadaan yang parah dan koma.
Menurutnya, mereka sekeluarga tinggal di Kampung Berangan Mek Nab dan mengambil masa kira-kira 10 minit menaiki motosikal untuk ke sekolah.
**media[3517469]**
Ujarnya, pagi sebelum kejadian, kesemua mangsa terutama Mas Siti Rosnani merenggek kerana enggan ke sekolah namun namun dipujuk Hanita supaya hadir seperti biasa.
“Biasanya mereka keluar awal sekitar jam 6.45 pagi, tetapi hari ini lewat sedikit jam 7 pagi sebab masing-masing tak nak ke sekolah.
“Tak lama lepas tu, penduduk datang beritahu mereka kemalangan,” katanya.





