KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kes pembunuhan tragis dan kejam seorang penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, yang mayatnya ditemukan berlumuran darah di kawasan sawah di Ketereh di sini menggemparkan masyarakat dengan rentetan pergerakan mangsa berjaya dikesan pihak berkuasa.
Dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat, polis bertindak pantas menahan empat empat suspek bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berikut kronologi kes :
1 Mei 2026
- 12:22 tengah malam – Orang awam menemui mayat mangsa dengan berlumuran darah di atas jalan kawasan sawah di Ketereh dan laporan dibuat kepada polis.
- Bedah siasat dijalankan dan mengesahkan identiti mangsa sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, pelajar semester tiga Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
- 4:40 petang – Polis memulakan tangkapan pertama melibatkan suspek kes.
- 8 malam – Keluarga mangsa tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Kuala Kangsar, Perak, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.
2 Mei 2026
- Sehingga 2 pagi – Seramai empat individu berjaya ditahan, terdiri daripada dua remaja lelaki (termasuk suspek utama), pasangan warga emas berusia 60 dan 66 tahun.
- 8.40 pagi – Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu dan dua remaja berkenaan direman selama tujuh hari manakala pasangan warga emas tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Menjelang tengah hari Sabtu, mula tersebar laporan dipercayai daripada pihak berkuasa berhubung pergerakan mangsa yang dilihat di lobi sebuah kondominium terletak di tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu pada jam 12.26 tengah hari, Khamis.
- Mengikut sebaran itu, mangsa dipercayai menaiki sebuah kereta Honda City berwarna hitam dan kemudian berada di restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di bandar Kota Bharu.
- Mangsa pulang semula ke kondominium pada jam 1 tengah hari dan dilihat keluar semula dari kondominium kira-kira jam 8 malam.
- Mangsa menaiki Perodua Bezza berwarna putih bersama seorang lelaki menaiki kenderaan sama dan membuat bayaran secara tunai.
- 11:34 malam - Mangsa sempat memuat naik status WhatsApp sedang menikmati makanan sebelum mayatnya ditemukan di Ketereh.
- Siasatan kes masih diteruskan.
