Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

Health & FitnessFamily & Parenting
6 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

‘Saya ada buat silap ke ketika mengandung?’ Soalan itu sering bermain di fikiran ramai ibu apabila anak disahkan berada dalam spektrum autisme. Lebih menyedihkan, masih ada yang cepat membuat kesimpulan keadaan itu berpunca daripada kesilapan ibu sendiri.

Hakikatnya, kebanyakan tanggapan tersebut tidak disokong oleh bukti saintifik dan hanya menambah beban emosi kepada keluarga.

Dalam masyarakat, pelbagai mitos mengenai autisme terus berlegar. Ada yang mendakwa autisme boleh dikesan ketika bayi masih berada dalam kandungan. Ada juga yang percaya pemakanan ibu, tekanan emosi atau aktiviti tertentu ketika hamil menjadi penyebab utama.

Menurut pakar, sehingga hari ini tiada satu pun ujian pranatal yang mampu mengesahkan seseorang bayi akan menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD). Dengan kata lain, autisme tidak boleh didiagnosis ketika bayi masih berada dalam rahim.

Pakar Perunding Pediatrik & Pediatrik Perkembangan, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur Dr. Jasminder Kaur Amarjit Singh berkata, perkara ini penting difahami kerana ramai menyangka teknologi perubatan moden mampu mengesan hampir semua keadaan kesihatan bayi sebelum dilahirkan.

Image from: Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

Walaupun benar banyak penyakit dan kelainan genetik boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan pranatal, autisme bukan satu daripadanya.

Katanya, autisme merupakan gangguan perkembangan saraf atau neurodevelopmental disorder yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi dengan orang lain serta memproses maklumat di sekelilingnya.

Oleh sebab itu, diagnosis autisme tidak dibuat berdasarkan imbasan atau ujian darah, tetapi melalui pemerhatian terhadap perkembangan seseorang kanak-kanak.

“Doktor akan menilai pelbagai aspek perkembangan seperti kemahiran komunikasi, interaksi sosial, cara bermain, tingkah laku dan corak minat seseorang kanak-kanak dalam tempoh tertentu sebelum membuat diagnosis. Tiada satu ujian tunggal yang boleh mengesahkan autisme,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KELIRU UJIAN GENETIK

Dr. Jasminder Kaur berkata, ramai yang keliru apabila mendengar tentang ujian genetik ketika hamil. Sesetengah ujian pranatal memang boleh mengesan beberapa sindrom genetik tertentu yang diketahui mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko autisme.

Namun katanya, perkara itu tidak bermaksud bayi tersebut pasti akan menghidap autisme apabila dilahirkan. Begitu juga sebaliknya. Jika ujian genetik tidak menunjukkan sebarang sindrom tertentu, ia bukan jaminan bayi tersebut tidak akan mengalami autisme.

Menurutnya, sindrom genetik yang diketahui berkaitan dengan autisme hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan kes. Sebahagian besar individu autisme tidak mempunyai sindrom genetik yang boleh dikenal pasti melalui ujian pranatal.

Sehubungan itu, pakar menegaskan ujian genetik ketika hamil tidak boleh digunakan sebagai alat untuk mengesahkan diagnosis autisme. Ia hanya membantu mengenal pasti beberapa keadaan genetik tertentu yang mungkin meningkatkan risiko, bukannya menentukan seseorang pasti menghidap autisme.

Image from: Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

BILA AUTISME DAPAT DIKESAN?

Persoalan yang sering ditanya oleh ibu bapa ialah, jika autisme tidak boleh dikenal pasti ketika hamil, bilakah sebenarnya ia mula dapat dikesan?

Menurut Dr. Jasminder Kaut, tanda-tanda awal sebenarnya boleh mula muncul seawal usia enam hingga 12 bulan. Namun, pada usia ini simptomnya biasanya masih tidak jelas dan sukar dibezakan dengan variasi perkembangan normal dalam kalangan bayi.

Katanya, apabila kanak-kanak semakin membesar, terutama antara usia satu hingga dua tahun, ciri-ciri autisme lazimnya menjadi lebih jelas. Pada peringkat inilah ibu bapa sering mula menyedari terdapat sesuatu yang berbeza pada perkembangan anak mereka.

“Antara tanda awal yang sering diperhatikan ialah bayi kurang memberi tindak balas apabila namanya dipanggil walaupun pendengarannya normal. Mereka juga mungkin kurang melakukan hubungan mata atau tidak menunjukkan minat untuk berkongsi perhatian dengan ibu bapa terhadap sesuatu objek atau situasi.

“Sesetengah kanak-kanak turut menunjukkan kelewatan dalam perkembangan bahasa. Ada yang lambat menyebut perkataan pertama, kurang menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi atau tidak menunjukkan keinginan untuk berinteraksi dengan orang di sekeliling seperti kanak-kanak seusia mereka.

“Namun, mempunyai satu atau dua tanda tersebut tidak bermaksud seseorang kanak-kanak pasti menghidap autisme. Ramai kanak-kanak mengalami kelewatan pertuturan tetapi tidak berada dalam spektrum autisme,” katanya.

PROSES PENILAIAN

Dr. Jasminder Kaur berkata, dalam proses penilaian, pakar akan meneliti bagaimana kanak-kanak berkomunikasi, bermain, bertindak balas terhadap orang lain, mengurus emosi serta menunjukkan corak tingkah laku tertentu yang mungkin berulang atau terhad.

Pendekatan ini penting kerana setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Ada yang lambat bercakap tetapi cepat menguasai kemahiran sosial, manakala ada pula yang cepat membaca tetapi sukar berinteraksi dengan rakan sebaya.

“Disebabkan itulah diagnosis autisme memerlukan masa dan pemerhatian yang teliti. Ia bukan sesuatu yang boleh diputuskan hanya melalui satu lawatan ke klinik atau berdasarkan perkongsian video pendek di media sosial.

“Kecanggihan teknologi hari ini kadangkala menyebabkan masyarakat menganggap semua keadaan kesihatan boleh dikesan melalui mesin atau kecerdasan buatan. Namun, autisme masih memerlukan penilaian klinikal oleh profesional yang terlatih,” katanya.

Image from: Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

BUKAN SALAH IBU BAPA

Masyarakat juga perlu berhenti menyalahkan ibu atas keadaan anak mereka. Sehingga hari ini, tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan pemakanan ibu ketika hamil menjadi penyebab langsung autisme.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa aktiviti harian, tekanan emosi atau gaya hidup ibu sepanjang kehamilan boleh menyebabkan anak berada dalam spektrum autisme.

Menurut kajian, autisme ialah gangguan perkembangan saraf yang kompleks dan dipercayai berpunca daripada gabungan faktor genetik, faktor biologi serta proses perkembangan otak yang masih belum difahami sepenuhnya. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya dipersalahkan kerana tiada satu punca tunggal yang dikenal pasti sehingga kini.

Dr. Jasminder Kaur berkata, masyarakat perlu memahami perbezaan antara istilah faktor risiko dan punca. Faktor risiko hanya bermaksud sesuatu keadaan dikaitkan dengan peningkatan kebarangkalian seseorang mengalami autisme, tetapi ia bukan bukti bahawa autisme pasti akan berlaku. Sebaliknya, punca ialah faktor yang secara langsung menyebabkan sesuatu keadaan.

Katanya, kekeliruan terhadap dua istilah ini sering melahirkan pelbagai mitos sehingga ada pihak sewenang-wenangnya menyalahkan ibu bapa tanpa asas saintifik. Akibatnya, ramai ibu bapa hidup dalam rasa bersalah yang berpanjangan, hilang keyakinan diri, mengalami tekanan emosi malah ada yang menangguhkan penilaian dan intervensi awal kerana takut dihakimi oleh masyarakat.

Image from: Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme

AUTISME TIDAK BOLEH SEMBUH

Satu lagi salah faham yang sering berlegar ialah tanggapan autisme boleh disembuhkan sepenuhnya.

Dr. Jasminder Kaur berkata, dari sudut perubatan, autisme bukan penyakit tetapi keadaan perkembangan saraf yang berlangsung sepanjang hayat.

Justeru, istilah pulih kurang tepat digunakan. Sebaliknya, matlamat utama rawatan ialah membantu individu autisme mengembangkan kemahiran komunikasi, sosial, pembelajaran dan kehidupan harian agar mereka dapat mencapai potensi terbaik.

Katanya, dengan intervensi awal yang berkualiti, ramai kanak-kanak menunjukkan perkembangan yang sangat baik sehingga ciri-ciri autisme menjadi kurang ketara, namun tahap kemajuan setiap individu adalah berbeza.

Ujar beliau, intervensi awal yang dimulakan sebelum usia lima tahun terbukti memberi manfaat yang besar kerana pada tempoh tersebut otak kanak-kanak mempunyai keupayaan tinggi membentuk sambungan saraf baharu atau brain plasticity.

Antara intervensi yang disokong oleh bukti saintifik ialah terapi pertuturan, terapi cara kerja, Applied Behavior Analysis (ABA), Early Intensive Behavioral Intervention (EIBI) dan Early Start Denver Model (ESDM).

Semua pendekatan ini bertujuan membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran mengikut keperluan individu, bukannya menghilangkan autisme.

Justeru, perkara paling penting ialah ibu bapa mendapatkan penilaian dan sokongan seawal mungkin serta tidak mudah mempercayai mitos yang hanya menimbulkan salah faham dan menambah beban kepada keluarga.

The post Pemakanan ketika hamil bukan punca anak autisme appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved