
SHAH ALAM, 4 OGOS: Tindakan nekad seorang ibu meredah kebakaran untuk mengejutkan anak sulungnya yang sedang tidur berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, Sharipah Yusof, 59, berkata beliau bersama suami, Abd Rashid Md Zain, 64, sedang tidur di tingkat bawah rumah, manakala anak sulung mereka, Abd Latif Abd Rashid, 41, berada di dalam bilik di tingkat atas.
Menurutnya, beliau tersedar selepas terdengar jeritan orang ramai memaklumkan rumah mereka sedang terbakar dan meminta mereka segera menyelamatkan diri.
"Apabila buka pintu bilik, terkejut tengok api sudah marak di tingkat atas, selain menyambar beberapa bahagian di tingkat bawah. Makcik terus bergegas keluar dari rumah kerana api semakin besar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, orang ramai membantu menyelamatkan suaminya yang kurang sihat sebelum beliau teringat anaknya masih berada di tingkat atas lalu nekad masuk semula ke dalam rumah untuk mengejutkannya.
Sharipah berkata, beliau cuba memasuki rumah sebanyak tiga kali sambil mengetuk pintu bilik anaknya yang berkunci dari dalam, namun tidak menerima sebarang tindak balas daripada mangsa.
"Kali pertama dan kedua makcik masih boleh masuk lagi sambil memanggil dia berkali-kali. Makcik kemudian cuba kali ketiga tetapi tidak dapat kerana api sudah marak dan bahangnya sangat kuat."
Katanya, sebaik anggota bomba tiba di lokasi, beliau segera memaklumkan bahawa anaknya masih berada di tingkat atas rumah.
Beliau berkata, Abd Latif merupakan anak sulung daripada empat beradik dan berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam serta sudah lama tidak keluar rumah. Sejak beberapa hari lalu, mangsa juga kurang berselera makan selain lebih banyak berdiam diri di dalam biliknya.
Dalam kejadian itu, semua barangan di dalam rumah termasuk pakaian, perabot, barangan elektrik serta dokumen pengenalan suaminya musnah dijilat api.
Sementara itu, adik mangsa, Asiah, 40, berkata beliau menerima panggilan daripada adik lelakinya memaklumkan rumah ibu bapa mereka terbakar sebelum bergegas ke lokasi dari Kampung Setar Kanan, Marang.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu mangsa kira-kira sebulan lalu ketika membawa abangnya mendapatkan rawatan selepas mengadu tidak sedap hati dan penglihatannya semakin kabur sehingga berhasrat membuat cermin mata baharu.
Dalam pada itu, Abd Rashid berkata beliau dan isteri reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sangat sedih kehilangan anak sulung. Rumah yang dibinanya sejak lebih 30 tahun lalu turut musnah sepenuhnya menyebabkan pasangan itu kini tinggal sehelai sepinggang.






