BEAUFORT - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini.
Suspek berusia 43 tahun itu ditahan selepas laporan diterima daripada bapa saudara mangsa berhubung perbuatan terkutuknya itu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa tirinya dan mendedahkan kejadian itu kepada bapa saudaranya pada Jumaat lalu.
"Mangsa menyatakan kali terakhir dipaksa melakukan hubungan seks adalah pada kira-kira jam 9 pagi, 4 Mei lalu semasa ketiadaan ibunya di rumah.
"Selain itu, mangsa menyatakan suspek telah memaksanya melakukan hubungan seks sejak berusia lapan tahun lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Champin berkata, susulan daripada laporan tersebut, satu tangkapan telah dibuat terhadap suspek pada jam 3.10 petang, Ahad di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di sini.
"Hasil soal siasat suspek mengaku telah melakukan hubungan seks dengan mangsa di dalam bilik tidurnya," katanya.
Katanya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.





