
Akibat terpedaya dengan skim pelaburan selain berjudi secara online, seorang ibu tunggal beranak tiga nekad menjual buah pinggangnya demi membayar hutang salah seorang anaknya.
Lebih parah, anak wanita berkenaan yang berusia 31 tahun difahamkan kini sudah menghilangkan diri kerana tidak mampu membayar hutang yang kini mencecah lebih RM57,000, lapor Kompas.com.
Hanya mahu dikenali sebagai ER, 59, wanita yang baru sahaja kematian suami setahun yang lalu sudah tidak tahan didatangi pengutip hutang di rumah dan menuntut bayaran bulanan berbeza antara RM229 hingga RM286.
ANAKNYA TERLILIT HUTANG PINJOL, IBU DI TUBAN JUAL GINJALNYA
ER (59), warga Kec Tuban, Tuban, berniat menjual salah satu ginjalnya. Dia sudah menawarkan kepada masyarakat dengan cara membeberkan poster tulisan tangan “Dijual Ginjal” disertai nomor ponselnya. pic.twitter.com/C1QBYWMfae— Buk Camat (@Fheeny_) November 22, 2022
ER yang hanya bekerja sebagai penjual gorengan berkata, dengan pendapatannya, dia sedar memang tidak mampu untuk melangsaikan semua hutang-hutang anaknya. Disebabkan itu, dia nekad berdiri di tepi jalan sambil memegang iklan yang menawarkan penjualan organ dalamannya.
Ketika dibawa ke balai polis tempatan untuk memberi keterangan, ER menjelaskan dia tahu yang penjualan organ dalaman adalah dilarang di sisi undang-undang negara dan agama. Pun begitu, dia sudah tiada pilihan lain.
“Saya tahu ia salah tapi sudah setahun anak saya hilang. Hutangnya masih belum dibayar dan saya tak boleh lari dari pengutip hutang yang datang ke rumah setiap hari minta wang,” katanya.
Sumber: Kompas.com

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



