Ibu Zara dibenar ambil bahagian dalam inkues

LocalPolitics
29 Aug 2025 • 1:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengarah Mahkamah Negeri Sabah Azreena Aziz yang sepatutnya mendengar inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir, menarik diri daripada mendengar inkues berkenaan.

Azreena yang bertindak sebagai koroner pada prosiding pada Khamis memaklumkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan akan menggantikan beliau sebagai koroner untuk mendengar inkues itu.

Katanya, beliau tidak akan mempengerusikan inkues terbabit selepas mengambil kira bahawa beliau tinggal di daerah Papar walaupun tidak begitu mengenali ‘nama-nama’ yang terlibat.

Perbicaraan inkues ditetapkan pada 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Dalam prosiding itu, Azreena membenarkan permohonan pasukan peguam keluarga Zara supaya ibu mangsa Noraidah Lamat diisytiharkan sebagai Pihak Berkepentingan dalam prosiding inkues terbabit.

Melalui peguam yang dilantik, Noraidah dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam prosiding inkues termasuk menyoal balas saksi-saksi, meneliti dokumen yang dikemukakan dalam inkues serta mencadangkan dan mengemukakan saksi serta dokumen tambahan bagi membantu Koroner.

Permohonan pasukan guaman itu juga termasuk agar Noraidah melalui pasukan guamannya diberikan salinan semua dokumen berkaitan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum prosiding inkues bermula.

Bagaimanapun, semua permohonan itu tertakluk kepada empat syarat, antaranya pihak pendakwaan/pegawai pengendali tidak membantah peguam pemerhati diberikan kebenaran untuk menyoal pihak yang memberi keterangan dalam prosiding inkues dan soalan itu terhad kepada pemeriksaan sahaja serta tidak melibatkan soal balas kerana ini adalah prosiding inkues dan bukan perbicaraan jenayah.

Satu lagi syarat pihak pendakwaan atau pegawai pengendali tidak membantah untuk membekalkan semua dokumen dan barang kes berkaitan kepada peguam pemerhati namun tertakluk kepada arahan dan budi bicara mahkamah serta undang-undang yang berkaitan.

Syarat lain ialah hanya seorang peguam yang mewakili pemerhati sahaja dibenarkan menyoal setiap saksi bagi memastikan kelancaran prosiding serta mengelakkan kekeliruan dan pengulangan.

Azreena juga membenarkan permohonan daripada peguam yang mewakili lima remaja yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung insiden Zara untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Bagaimanapun permohonan pasukan peguam lima remaja berkenaan untuk menangguhkan perbicaraan inkues telah ditolak dan tarikh perbicaraan dikekalkan.

Ibu Zara yang hadir semasa prosiding kelihatan tenang ketika duduk di galeri awam.

Sementara itu permohonan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) untuk menjadi pemerhati dalam inkues tidak dibenarkan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Dana Arabi Wazani bersama TPR Sofia Sawayan, TPR Afiq Agoes dan TPR Dacia Jane Romanus bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.

Pasukan peguam keluarga Zara iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser juga hadir dalam prosiding tersebut.

Empat daripada remaja terbabit diwakili peguam Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah manakala seorang lagi diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.

Peguam Andrian Chan mewakili Sabah Law Society (SLS) bertindak sebagai pemerhati untuk memantau perjalanan prosiding.

Pada 13 Ogos lalu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan satu inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian Zara termasuk sama ada wujud unsur jenayah.

Zara yang berusia 13 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di Papar pada 17 Julai tahun ini dan dipercayai menjadi mangsa buli.

Beliau ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi namun meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).