
KUALA LUMPUR — Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mengiktiraf ibu kepada Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Pengiktirafan itu membolehkan Noraidah mengambil bahagian secara aktif dalam prosiding serta mendapatkan akses kepada dokumen pendakwaan dan laporan bedah siasat.
Peguamnya, Shahlan Jufri berkata, Hakim Koroner Azreen Aziz telah meluluskan permohonan itu dan memaklumkan semua laporan berkaitan termasuk laporan bedah siasat, akan diserahkan kepada pihaknya pada 2 September, iaitu sehari sebelum inkues bermula.
“Kami telah diberi kebenaran sebagai pihak berkepentingan dengan akses kepada dokumen. Laporan bedah siasat akan diberikan pada 2 September sebelum inkues berlangsung,” katanya kepada media.
Dalam prosiding itu, peguam mewakili remaja yang didakwa berkait dengan kes Zara turut memohon status yang sama, diketuai oleh Datuk Ram Singh.
Walaupun dibantah pihak peguam Noraidah, mahkamah turut membenarkan pasukan pembelaan itu diiktiraf sebagai pihak berkepentingan.
Shahlan ketika meluahkan rasa kecewa dengan keputusan itu menegaskan, inkues terbabit tidak sepatutnya dijadikan lanjutan kepada prosiding Mahkamah Kanak-Kanak.
“Medan mereka adalah di Mahkamah Kanak-Kanak, bukan di sini. Inkues ini bertujuan mencari kebenaran mengenai apa yang berlaku kepada Zara, bukan untuk mendakwa atau membela sesiapa,” katanya.
Mahkamah turut memaklumkan bahawa semua laporan berkaitan akan diberikan kepada pasukan peguam yang mewakili tertuduh dalam kes buli tersebut.
Permohonan kedua daripada pihak pembelaan untuk menangguhkan inkues telah dibantah oleh pasukan peguam Noraidah serta Jabatan Peguam Negara dan ditolak oleh koroner.
Prosiding inkues akan dijalankan tanpa sebarang penangguhan dan akan dikendalikan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bermula minggu depan.
Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Dalam pada itu, Ram Singh sebagai mewakili salah seorang remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berkata, prosiding inkues apabila dibawa di mahkamah adalah bertujuan untuk mencari fakta.
Katanya, kebenaran diperoleh di mahkamah melalui saksi dan proses soal jawab.
“Pada asasnya, inkues hanya untuk mencari fakta, bukan untuk memperincikan kandungan pertuduhan.
“Ketika ini terdapat dua prosiding, iaitu inkues dan satu lagi kes pertuduhan. Jadi kita berharap kebenaran akan didedahkan,” katanya. - Getaran, 28 Ogos 2025

