iCAUR 03 Kini Dipasang Tempatan (CKD) Kekal Spesifikasi iWD, Harga Bermula RM129,880

LocalCars
21 May 2026 • 5:10 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: iCAUR 03 Kini Dipasang Tempatan (CKD) Kekal Spesifikasi iWD, Harga Bermula RM129,880


iCAUR Malaysia secara rasmi memulakan lembaran baharu dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) tempatan menerusi pelancaran model pemasangan tempatan (CKD) SUV elektrik popular mereka, iCAUR 03. Langkah strategik ini diambil susulan sambutan luar biasa terhadap model import sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan pada September tahun lalu.

Pemasangan tempatan ini dikendalikan sepenuhnya di kilang Chery Corporate Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor. Menariknya, peralihan kepada status CKD ini langsung tidak menjejaskan kualiti asal. Pihak iCAUR Malaysia memberi jaminan bahawa unit CKD ini mengekalkan 100% spesifikasi bertaraf tinggi, standard kejuruteraan, dan karakter Born To Play yang sama seperti model CBU sebelumnya.

Kekal Luar Biasa Dengan Gaya ‘Boxy Retro Classic’

Bagi peminat tegar reka bentuk retro, anda boleh menarik nafas lega. iCAUR 03 CKD mengekalkan bahasa reka bentuk ikonik Boxy Retro Classic berasaskan falsafah rekaan i-BOX. Rupa parasnya yang berkotak, permukaan bersudut yang sasa, serta sistem lampu LED dinamik memastikan SUV ini kekal menonjol di atas jalan raya bandar mahupun ketika dibawa mengembara.

Prestasi iWD & Spesifikasi Teknikal

Untuk pasaran Malaysia, unit CKD ini ditawarkan dalam varian Intelligent Wheel Drive (iWD) tanpa sebarang pengurangan spesifikasi:

  • Kuasa Maksimum: Tetapan dwi-motor menghasilkan 205 kW (279 PS) dan tork setinggi 385 Nm.
  • Bateri & Jarak Pemanduan: Pek bateri berkapasiti 69.8 kWh menawarkan jarak gerak sehingga 418 km (penarafan NEDC).
  • Sistem Pengecasan: Menyokong pengecasan pantas DC 80 kW dan AC 6.6 kW.
  • Fungsi Ekstra: Didatangkan dengan sistem Vehicle-to-Load (V2L) 3.2 kW untuk membekalkan kuasa kepada peranti elektronik luaran.

Kabin digitalnya juga kekal pintar dengan kelengkapan teknologi bantuan pemandu termaju (ADAS) serta perlindungan bateri yang kukuh untuk pemanduan yang lebih meyakinkan.

Harga dan Pakej Menarik

iCAUR 03 CKD ditawarkan pada harga bermula RM 129,880 (Atas jalan tanpa insurans, Semenanjung Malaysia).

Bagi menambah nilai pemilikan, setiap pembelian turut didatangkan dengan pakej istimewa berupa Pengecas Rumah AC 7kW percuma dan servis berjadual percuma selama 2 tahun atau 45,000 km (mana-mana terdahulu).

Kumpulan pertama unit CKD ini dijadualkan mula tiba di semua rangkaian pengedar sah iCAUR di seluruh negara menjelang akhir Mei 2026. Tempahan dan sesi pandu uji kini sudah mula dibuka untuk slot terawal.

The post iCAUR 03 Kini Dipasang Tempatan (CKD) Kekal Spesifikasi iWD, Harga Bermula RM129,880 appeared first on TW Media.