iCents melonjak 21 peratus pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE, raih RM34.2 juta

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 9:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

iCents melonjak 21 peratus pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE, raih RM34.2 juta

image is not available

17/07/2025 - 09:35

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - iCents Group Holdings Bhd mencatatkan kemunculan sulung memberangsangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini apabila sahamnya dibuka pada 29 sen, iaitu premium lima sen atau 21 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 24 sen.

Kaunter itu melonjak setinggi tujuh sen atau 29 peratus kepada 31 sen dalam dagangan awal, menjadikannya saham paling aktif diniagakan dengan lebih 58 juta saham bertukar tangan sebaik pasaran dibuka.

Syarikat penyedia penyelesaian bilik bersih itu berjaya mengumpul RM34.2 juta daripada penyenaraian tersebut.

Hasil kutipan akan digunakan untuk pembelian mesin dan kelengkapan baharu, selain peluasan operasi termasuk di Negeri Sembilan serta pembukaan pejabat di Indonesia, Singapura dan Sarawak.

Selebihnya akan diperuntukkan bagi pembangunan produk baharu, pelancaran penawaran terkini, aktiviti pemasaran, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

iCents menyediakan perkhidmatan menyeluruh dalam sektor bilik bersih yang merangkumi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan.

Pelanggan utamanya terdiri daripada industri semikonduktor, pembuatan elektronik, farmaseutikal, sains hayat dan pusat data. - DagangNews.com

standard