
THE HAGUE: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan keputusan yang dinanti-nantikan pada 19 November berhubung kes yang mendakwa Myanmar genosid terhadap etnik minoriti Rohingya.
Di Bangladesh, kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya yang menetap di kem pelarian Cox’s Bazar sejak melarikan diri daripada keganasan besar-besaran pada 2017, akan mengikuti keputusan yang dijadualkan dibacakan bermula pukul 10 pagi (waktu tempatan) dan berlangsung sehingga 90 minit.
Lapor Reuters, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Dunia itu dibuat tujuh tahun selepas Gambia memfailkan kes berkenaan dan dijangka memberi kesan melangkaui Myanmar, termasuk terhadap kes yang difailkan Afrika Selatan pada 2023 dengan mendakwa Israel melakukan genosid di Gaza.
Israel dan Myanmar bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan serta menegaskan tindakan ketenteraan masing-masing adalah tindak balas yang sah terhadap serangan kumpulan bersenjata.
Gambia berhujah bahawa Myanmar bertanggungjawab sebagai sebuah negara atas tindakan genosid susulan operasi ketenteraan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 730,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Mangsa yang terselamat menceritakan kejadian pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran kampung.
Misi pencarian fakta PBB sebelum ini menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu merangkumi tindakan yang bersifat genosid. Pegawai kerajaan Myanmar yang disokong tentera tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Keputusan utama pertama mahkamah itu dalam tempoh lebih sedekad berkaitan pelaksanaan Konvensyen Genosid 1948 akan diteliti secara mendalam oleh pakar undang-undang bagi memahami bagaimana panel 15 hakim menilai tanggungjawab sesebuah negara dalam dakwaan melakukan jenayah antarabangsa.
Hakim akan menentukan sama ada genosid berlaku dan sama ada tindakan yang didakwa dilakukan oleh tentera Myanmar atau agensi kerajaan lain melanggar kewajipan negara itu di bawah Konvensyen Genosid.
Kes genosid jarang dapat dibuktikan di mahkamah antarabangsa kerana pihak pendakwa perlu membuktikan wujud niat khusus untuk memusnahkan, sepenuhnya atau sebahagiannya, sesuatu kumpulan berdasarkan bangsa, etnik, kaum atau agama.
Sejak peristiwa Holocaust, mahkamah antarabangsa hanya mengiktiraf genosid dalam beberapa kes, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994, pembunuhan di Srebrenica, Bosnia pada 1995, serta kekejaman rejim Khmer Rouge di Kemboja pada penghujung 1970-an.
Dalam kes berkenaan, Gambia turut meminta mahkamah mengarahkan Myanmar membayar pampasan serta memastikan pelarian Rohingya dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
Keputusan ICJ yang bertanggungjawab menyelesaikan pertikaian antara negara serta memutuskan dakwaan pelanggaran perjanjian antarabangsa, adalah muktamad. Bagaimanapun, mahkamah itu mempunyai kuasa yang sangat terhad untuk menguatkuasakan keputusannya.
ICJ berbeza daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mendakwa individu atas kesalahan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid serta mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman penjara.
The post ICJ bakal putuskan kes dakwaan genosid etnik Rohingya appeared first on Utusan Malaysia.






