Insights Analytics catat keuntungan RM9.9 juta pada 2QFY2026

Business & Finance
19 Dec 2025 • 5:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Insights Analytics catat keuntungan RM9.9 juta pada 2QFY2026
image is not available
liza19/12/2025 - 17:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Insights Analytics Berhad mencatat prestasi kewangan yang kukuh bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025 (2QFY26) dengan pendapatan berjumlah RM26.47 juta dan keuntungan sebelum cukai RM13.57 juta. 

 

Ini merupakan laporan interim kedua syarikat sejak disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2025.

 

Syarikat berkata pendapatan suku kedua datang daripada dua segmen utama iaitu rumusan teknologi air sebanyak RM11.73 juta dan rumusan pengurusan aset pintar RM14.74 juta. 

 

“Syarikat mencatat keuntungan selepas cukai RM9.90 juta bagi tempoh tersebut.

 

“Berbanding suku sebelumnya, pendapatan menurun sedikit sebanyak 7.8% daripada RM28.70 juta, namun keuntungan sebelum cukai meningkat 7% daripada RM12.68 juta, disokong oleh peningkatan margin kasar.

 

“Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset meningkat kepada RM143.22 juta setakat 31 Oktober 2025 berbanding RM68.25 juta pada 30 April 2025, didorong oleh pertumbuhan tunai dan deposit jangka pendek, serta kontrak dan hasil daripada IPO,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Jumlah ekuiti juga meningkat kepada RM99.55 juta berbanding RM38.90 juta sebelum ini.

 

Insights Analytics telah menggunakan sebahagian dana IPO untuk memperluaskan pejabat korporat di Sarawak dan aktiviti operasi IT di Semenanjung Malaysia. 

 

Selebihnya dana itu diperuntukkan bagi modal kerja, pelaburan strategik, serta kos penyenaraian.

 

Melangkah ke hadapan, syarikat kekal optimis dengan prospek pertumbuhan, menumpukan kepada peningkatan keupayaan R&D dan memperkukuh kehadiran pasaran di Malaysia Barat.

 

Selain itu, usaha memenangi projek berkaitan kerajaan, serta meneroka peluang pelaburan dan pengambilalihan strategik.

 

Rumusan pengurusan aset pintar yang dipacu IoT, AI, analitik data dan pengkomputeran awan dijangka menyokong pertumbuhan operasi dan kecekapan kos.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku kedua ini. - DagangNews.com

Terkini standard