United Malacca catat lonjakan keuntungan 79.1% kepada RM55.37 juta pada 2Q26

Business & Finance
19 Dec 2025 • 9:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

United Malacca catat lonjakan keuntungan 79.1% kepada RM55.37 juta pada 2Q26
image is not available
haziq19/12/2025 - 09:39 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – United Malacca Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 79.1% kepada RM55.37 juta bagi suku kedua berakhir 31 Okt 2025 (2Q26), berbanding RM30.92 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan hasil kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan itu memaklumkan hasil meningkat 31.1% kepada RM240.46 juta daripada RM183.44 juta pada suku yang sama tahun lalu, susulan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi, harga purata minyak sawit mentah (CPO) yang lebih baik serta kos pengeluaran seunit yang lebih rendah.

 

Bagi tempoh tersebut, United Malacca memaklumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 7 sen sesaham, yang akan dibayar pada 30 Jan 2026.

 

Untuk tempoh enam bulan, keuntungan bersih kumpulan melonjak dua kali ganda kepada RM93.13 juta berbanding RM44.21 juta, manakala hasil meningkat 24.4% kepada RM432.09 juta daripada RM347.32 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2025.

 

Mengulas prospek, kumpulan menjangkakan pengeluaran FFB akan meningkat bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026 (FY26), disokong profil usia pokok yang lebih baik serta penambahbaikan kecekapan operasi.

 

“Keutamaan pengurusan kekal tertumpu kepada peningkatan produktiviti buruh, inisiatif mekanisasi dan kecekapan kos serta usaha meningkatkan kadar perolehan minyak.

 

“Dengan andaian harga CPO kekal pada paras semasa, kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi FY26,” katanya dalam makluman itu. - DagangNews.com

Terkini standard