Ribuan Berhimpun Di KLIA, Aktivis Negara Sujud Syukur, Sebak Kembali Dengan Selamat

8 Oct 2025 • 12:32 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nurfarahin Romli atau Farah Lee (kanan) memberikan ucapan ringkas sebaik tiba - Gambar Amirah Abu Bakar

SEPANG - Suasana penuh emosi menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, saat menyambut kepulangan 23 aktivis negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Ribuan pengunjung, termasuk ahli keluarga, penyokong dan media mula berkampung di Balai Ketibaan seawal jam 8 malam, walaupun semua aktivis hanya dijadualkan tiba sekitar jam 10 malam.

Sebaik melangkah masuk ke ruang Balai Ketibaan sekitar jam 11.15 malam, semua aktivis disambut dengan takbir, ‘Allahuakbar’ dan laungan Free Palestine.

Ketika itu, ramai dilihat menitiskan air mata terharu selepas terselamat daripada pengalaman yang cukup getir, termasuk ditahan di penjara Zionis, apabila flotila mereka dipintas tentera Israel.

image is not available
Aktivis sujud syukur sebaik memasuki Balai Ketibaan - Gambar Amirah Abu Bakar

Beberapa aktivis lelaki pula sujud syukur sebaik menjejak kaki di tanah air, disaksikan ratusan penyokong dan ahli keluarga yang gagal menahan sebak dan air mata.

GSF merupakan misi kemanusiaan disertai aktivis pelbagai negara yang berlayar untuk membawa bantuan ke Gaza.

Pelayaran itu adalah sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan sekatan dan kekejaman rejim Israel. 

Kapal yang membawa semua peserta bagaimanapun dipintas Zionis sebaik memasuki Zon Merah ketika berada di perairan antarabangsa dan lebih 450 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan sebelum dibebaskan beberapa hari lalu.

Tindakan Zionis itu disifatkan sebagai satu pencabulan yang jelas menyalahi perundangan antarabangsa. 

Sementara itu, Sekretariat Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan, semua peserta berada dalam keadaan sihat dan masih bersemangat untuk misi seterusnya. 

“Mereka akan menjalani sesi taklimat serta pemeriksaan kesihatan selepas ini,” kata jurucakap sekretariat kepada Getaran. - Getaran, 8 Oktober 2025