KOTA BHARU – Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 yang berlangsung di Pasar Raya Mydin Tunjong di sini pada Isnin bukan sekadar menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa kepada pengunjung, malah menjadi medan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam suasana penuh kemeriahan Ramadan.
Program yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang itu turut memberi peluang kepada masyarakat berkumpul, berkongsi rezeki dan menikmati juadah berbuka bersama dalam suasana penuh harmoni.
Kelantan merupakan destinasi ketujuh bagi program anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama Sinar Harian dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
Bagi Nurfarahin Jamsari, 33, peniaga dari Pasir Puteh, dia sanggup datang dari jauh bersama tujuh ahli keluarga termasuk ibunya bagi merasai kemeriahan iftar tersebut.
Menurutnya, peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkumpul bersama keluarga sambil menikmati juadah berbuka yang disediakan.
**media[3458258]**
"Ini kali kedua kami sekeluarga datang ke majlis Iftar Sinar Mydin dan ia memang sentiasa dinanti-nantikan.
"Seronok dapat berbuka beramai-ramai dalam suasana terbuka seperti ini, selain dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga," katanya.
Sementara itu, Meenachi Krishnaswamy, 30, yang bekerja sebagai pembantu klinik memberitahu walaupun tidak berpuasa, dia tidak melepaskan peluang menyertai majlis tersebut apabila diajak oleh rakan-rakan.
Ujarnya, penyertaan kali pertama itu memberikan pengalaman yang cukup bermakna apabila dapat menyaksikan sendiri suasana berbuka puasa secara beramai-ramai.
"Ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan apabila dapat melihat suasana makan beramai-ramai dan berkongsi juadah bersama rakan-rakan serta peserta lain walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain.
"Pada masa yang sama, saya juga dapat belajar dan memahami tentang amalan berpuasa dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.
Menurut pensyarah dari Pasir Mas, Salwuan Ab Halim, 59, dia hadir bersama enam ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan program berkenaan.
Katanya, ini merupakan kali kedua beliau menyertai program tersebut dan menganggapnya sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna sepanjang Ramadan.
"Selain menikmati juadah berbuka yang enak serta menerima pelbagai cenderamata yang disediakan, program ini turut menyediakan pengisian rohani dan aktiviti selingan yang menarik.
"Penganjuran kali ini kami berpeluang mendengar sesi perkongsian daripada AKM dan motivasi Ramadan yang disampaikan oleh Imam Muda Hassan.
**media[3458260]**
"Saya rasa sangat bertuah dapat bersama-sama menghayati keberkatan Ramadan dalam suasana yang meriah seperti ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Bagi penjawat awam dari Pasir Tumbuh, Rusdi Jusoh, 47, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang menghadiri program tersebut setiap kali dianjurkan.
Menurutnya, dia hadir bersama isteri serta dua anak bagi menikmati pengalaman berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
"Paling seronok dapat bertemu rakan-rakan kerana mereka juga turut serta dalam program ini.
"Selain itu, kami juga dapat mencuba menu baharu setiap tahun dan menerima pelbagai cenderamata yang disediakan.
"Kami sangat gembira dan berpuas hati, malah berharap program seperti ini dapat diteruskan pada setiap tahun," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustaqim, memberitahu kehadiran kira-kira 1,000 peserta yang duduk bersila berbuka puasa bersama di ruang legar Pasar Raya Mydin Tunjong menggambarkan suasana perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Ujar beliau, suasana tersebut jelas memperlihatkan ukhuwah yang erat dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang yang berkumpul untuk berbuka puasa bersama.
Menurutnya, program seumpama itu selari dengan semangat kebersamaan yang menjadi antara nilai penting yang ingin diketengahkan oleh AKM.
"Tahniah kepada pihak penganjur dan penaja kerana menganjurkan program seperti ini yang bukan sahaja meraikan orang ramai, malah membuka peluang untuk menyatukan masyarakat," katanya.
Sementara itu, ADUN Salor, Saizol Ismail, turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur yang berjaya menghimpunkan masyarakat dalam suasana Ramadan yang penuh bermakna.
**media[3458259]**
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai merasai kemeriahan Ramadan, malah memperlihatkan semangat perkongsian rezeki bersama masyarakat.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Mydin, AKM dan Sinar Harian kerana menganjurkan program ini.
"Program seperti ini merupakan acara tahunan yang cukup baik kerana urusan niaga bersama rakyat dikembalikan semula kepada rakyat.
"Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai kemeriahan sambutan Ramadan dalam suasana yang penuh kebersamaan," katanya.
Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah AKM, Shahrir Zaman Abdul Wahab, dan Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad, Salim Mydin.


