IHH Healthcare perkukuh operasi Singapura menerusi kerjasama lima syarikat insurans

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IHH Healthcare perkukuh operasi Singapura menerusi kerjasama lima syarikat insurans Image from: IHH Healthcare perkukuh operasi Singapura menerusi kerjasama lima syarikat insurans sarah27/11/2026 - 18:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - IHH Healthcare Bhd (IHH) memperkukuh strategi pemulihan perniagaan hospitalnya di Singapura menerusi kerjasama dengan lima syarikat insurans serta penawaran pakej rawatan pada harga kompetitif bagi menarik lebih ramai pesakit.

 

Langkah itu seiring perkembangan positif operasi kumpulan di republik berkenaan, dengan kadar penghunian hospital meningkat kepada 52% pada suku ketiga 2026 berbanding 51% pada suku sebelumnya dan 49% pada suku pertama tahun ini.

 

Kemasukan pesakit dalam turut kembali stabil selepas mengalami tekanan pada awal tahun, manakala margin keuntungan kekal kukuh pada paras 29%.

 

IHH dalam kenyataan hari ini berkata, kumpulan telah menjalin kerjasama dengan AIA, Great Eastern Singapore, Income, Prudential dan Singlife bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

 

Selain menawarkan pakej rawatan pada harga kompetitif, kumpulan akan memperluas kerjasama dengan sektor korporat menerusi program kesihatan pekerja serta menarik lebih ramai pelancong perubatan dari pasaran bukan tradisional.

 

Perluas kemudahan hospital di Malaysia dan India

Di Malaysia, IHH terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, disokong peningkatan kemasukan pesakit ke hospital, rawatan harian tanpa bermalam serta permintaan terhadap perkhidmatan pelancongan perubatan.

 

Kumpulan akan memberi tumpuan kepada peluasan kemudahan hospital sedia ada secara terpilih, di samping memperkukuh kerjasama dengan penyedia pembiayaan rawatan dan mengutamakan keberkesanan rawatan berbanding kos.

 

Di India, IHH akan mempercepat peluasan kemudahan hospital sedia ada bagi memenuhi peningkatan permintaan, selain memanfaatkan penyepaduan operasi Fortis Healthcare dan Gleneagles India.

 

Sementara itu, operasi di Turkiye dan Eropah terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, disokong permintaan daripada pesakit tempatan dan antarabangsa.

 

Keuntungan bersih teras melonjak 30%

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare, Dr Prem Kumar Nair berkata, kumpulan kekal yakin mencapai sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) dua angka menjelang 2028, disokong kekuatan rangkaian perniagaannya serta strategi khusus bagi setiap pasaran.

 

Bagi suku ketiga 2026, IHH mencatatkan peningkatan keuntungan bersih teras sebanyak 30% kepada RM678 juta, manakala keuntungan bersih yang dilaporkan meningkat 10% kepada RM679 juta dan pendapatan meningkat 8% kepada RM7.1 bilion.

 

Bagi sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 13% kepada RM1.8 bilion, manakala pendapatan meningkat 8% kepada RM20.7 bilion, dengan kedudukan tunai sebanyak RM1.5 bilion setakat 30 September 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved