sarah26/11/2026 - 18:31 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengembangan portfolio hartanah IOI Properties Group Bhd (IOIPG) di Singapura semakin membuahkan hasil apabila sumbangan republik itu kepada pendapatan keseluruhan kumpulan meningkat kepada 27% pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027), berbanding 14% dalam tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan itu mencerminkan kejayaan strategi kumpulan mempelbagaikan sumber pendapatan mengikut pasaran geografi, dengan sumbangan Malaysia daripada keseluruhan pendapatan kini merangkumi 65% berbanding 75% setahun sebelumnya, manakala China menyumbang baki 8%.
Peningkatan prestasi di Singapura disokong sumbangan bagi tempoh suku penuh daripada menara pejabat South Beach dan hotel JW Marriott Singapore South Beach, selain peningkatan kadar penghunian IOI Central Boulevard Towers.
Prospek pertumbuhan kumpulan di republik itu turut diperkukuh menerusi penyempurnaan pengambilalihan Asia Square Tower 2 pada 17 September 2026, menjadikan keseluruhan keluasan bersih ruang pejabat Gred A miliknya di Singapura sebanyak 2.58 juta kaki persegi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, kumpulan akan terus memperkukuh dua teras pertumbuhannya, iaitu pembangunan hartanah dan portfolio hartanah pelaburan premium yang mampu menjana pendapatan berulang dengan margin keuntungan tinggi.
Jualan tanah kepada Bridge Data Centres dijangka selesai akhir 2026
Dalam segmen pembangunan hartanah, IOIPG mencatatkan jualan sebanyak RM454.2 juta bagi suku pertama FY2027, dengan Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM388.3 juta atau 86%, diikuti China sebanyak RM59.9 juta dan Singapura RM6 juta.
Lembah Klang menyumbang jualan sebanyak RM239.5 juta, diterajui pembangunan Bandar Puteri Puchong dan Bandar Puteri Bangi di Selangor, manakala Johor mencatatkan jualan RM147.8 juta, disokong Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.
Jualan hartanah belum dibil kumpulan kekal kukuh pada RM2.46 bilion, manakala nilai inventori hartanah siap dibina berkurangan sebanyak RM129.8 juta kepada RM1.04 bilion, mencerminkan usaha berterusan kumpulan menjual hartanah sedia ada.
Menurut Yeow Seng, urus niaga penjualan tanah perindustrian di IOI Industrial Park Banting kepada Bridge Data Centres kekal mengikut jadual untuk diselesaikan pada suku keempat tahun kalendar 2026 dan dijangka meningkatkan prestasi kewangan segmen pembangunan hartanah.
Penyenaraian IOIPG REIT perkukuh kedudukan kewangan
Sementara itu, penyenaraian IOIPG REIT pada 25 November 2026 yang menjana hasil kira-kira RM2 bilion dijangka memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan, sejajar dengan strategi mendapatkan semula modal daripada aset pelaburannya.
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, pendapatan IOIPG meningkat 16% kepada RM1.13 bilion berbanding RM968.7 juta, didorong pertumbuhan pendapatan segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah masing-masing sebanyak 45% dan 37%.
Keuntungan sebelum cukai pula menyusut 58% kepada RM313 juta berbanding RM753.6 juta setahun sebelumnya, susulan keuntungan pengukuran semula aset South Beach sebanyak RM502.8 juta yang dicatatkan pada tahun lalu, namun selepas mengetepikan item luar biasa, keuntungan sebelum cukai asas kumpulan meningkat 25%.- DagangNews.com






