amree20/10/2026 - 09:50 Foto kredit IHH Healthcare Berhad Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt — IHH Healthcare Berhad memperluas operasi Hospital Gleneagles Johor menerusi pengambilalihan Afiniti Wellness di Medini, Iskandar Puteri, bagi membangunkan kampus kesihatan bersepadu seluas kira-kira 7.3 hektar.
Pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pantai Medical Centre Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada fasa pembangunan seterusnya Hospital Gleneagles Johor di Medini.
Hartanah berkenaan akan dibangunkan sebagai Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC) secara khusus yang menyediakan perkhidmatan konsultasi, diagnostik, pembedahan harian dan rawatan pesakit luar lain.
Pemindahan perkhidmatan pesakit luar dan kes harian terpilih ke pusat itu dijangka memudahkan akses pesakit kepada rawatan yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital, selain membolehkan Gleneagles Johor mengoptimumkan kemudahan sedia ada untuk pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks.
Pengembangan itu dilaksanakan ketika Johor bersedia menghadapi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang menjadikan sektor penjagaan kesihatan sebagai antara bidang keutamaan IHH Healthcare.
Permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dijangka meningkat seiring pergerakan penduduk, tenaga mahir dan pelaburan di koridor Johor-Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, Gleneagles Johor bersedia menyokong peningkatan keperluan penjagaan kesihatan negeri itu ketika Johor memasuki fasa pertumbuhan penting susulan penubuhan JS-SEZ.
"Kumpulan ini komited untuk terus melabur dalam Gleneagles Johor bagi memperkukuh keupayaan klinikal serta memastikan pesakit mendapat akses kepada rawatan yang semakin canggih dan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka," jelasnya dalam kenyataan.
Bersama-sama tanah milik sedia ada IHH Healthcare Malaysia di Medini, kampus kesihatan yang dirancang itu dijangka menyokong kapasiti kira-kira 350 katil pesakit dalam selepas ACC siap dibangunkan.
Satu lagi blok pesakit dalam yang berkapasiti 150 katil turut sedang dinilai sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang hospital itu bagi mengembangkan perkhidmatan rawatan tertiari dan kuartener.
Sejak mula beroperasi pada 2015, Gleneagles Johor sudah menyediakan sebanyak lebih 1.7 juta kes penjagaan yang merangkumi pesakit dalam, rawatan harian dan pesakit luar.
Hospital berkenaan turut mempunyai lebih 100 pakar serta lebih 1,200 profesional penjagaan kesihatan dalam bidang utama termasuk onkologi, kardiologi, ortopedik, neurosains serta kesihatan wanita dan kanak-kanak.
Keupayaan klinikal hospital itu turut merangkumi pembedahan berbantukan robot da Vinci, sistem penggantian sendi dijana robot, PET-CT dan LINAC, selain pelbagai teknologi diagnostik serta rawatan khusus lain. - DagangNews.com





