
KUALA LUMPUR 23 Dis – IJM Land terus menonjolkan peranan dalam agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyerahkan sebuah rumah dibina semula kepada sebuah keluarga Orang Asli enam beranak di Kampung Orang Asli Sebir, Labu, Negeri Sembilan menerusi Program myHome.
Inisiatif itu menjadi antara aktiviti utama sempena sambutan ulang tahun ke-30 pembangunan Seremban 2, sekali gus mencerminkan pendekatan berterusan IJM Land dalam menyantuni komuniti setempat selaras dengan aspirasi 'Connecting Lives, Shaping Futures'.
Dalam kenyataan hari ini, IJM Land berkata keluarga berkenaan sebelum ini tinggal di sebuah rumah buluh satu bilik yang uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami, terutama bagi anak-anak yang sedang membesar.
Penilaian awal mendapati struktur rumah tersebut terlalu tidak stabil untuk dibaik pulih, mendorong keputusan membina semula kediaman itu sepenuhnya.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai berkata, projek berkenaan amat bermakna kerana ia melibatkan keluarga Orang Asli pertama yang menerima manfaat penuh Program myHome.
“Tahun ini amat istimewa bagi syarikat. Sempena ulang tahun ke-30 Seremban 2, kami bukan sahaja meraikan perjalanan syarikat, tetapi juga menghargai komuniti tempatan yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan perkembangan kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, komuniti Orang Asli merupakan antara kelompok awal yang membentuk landskap sosial kawasan berkenaan dan wajar menerima perhatian serta sokongan berterusan.
“Selepas menilai keadaan kediaman keluarga ini, kami mendapati pembinaan semula adalah langkah paling sesuai bagi memastikan mereka mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Rumah tersebut dibangunkan dengan nilai pembinaan semula mencecah RM80,000 hasil kerjasama rakan strategik IJM Land termasuk FWT Construction Sdn Bhd, Nippon Paint (M) Sdn Bhd, Feruni Ceramiche Sdn Bhd, Swissma Building Technologies Sdn Bhd, Rockwool (M) Sdn Bhd dan Econframe Marketing Sdn Bhd.
Kediaman itu turut dilengkapi mesin basuh sumbangan LG Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, perabot daripada SCF Furnishing Sdn Bhd serta barangan keperluan harian, permainan dan barangan runcit bagi membantu keluarga berkenaan memulakan kehidupan baharu dalam persekitaran yang lebih baik.
Chai berkata Program myHome bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, sebaliknya membawa makna yang lebih besar kepada penerima manfaat.
“Setiap rumah yang dibina atau dipulihkan membawa harapan baharu kepada keluarga terlibat. Program ini memberi ruang untuk mereka bangkit semula dan merancang masa depan dengan lebih yakin,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2010, Program myHome telah memberi manfaat kepada 16 keluarga di Negeri Sembilan melibatkan pelbagai latar belakang kaum, termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
Sokongan kepada penerima turut diteruskan menerusi sumbangan sempena musim perayaan sebagai sebahagian daripada hubungan jangka panjang dengan komuniti.
Menurut IJM Land, projek pembinaan semula kediaman keluarga Orang Asli ini menjadi simbol hala tuju syarikat ke arah pembangunan yang lebih inklusif, di mana kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan kesejahteraan masyarakat setempat. - DagangNews.com


