IJM sahkan sertai bidaan bagi pengambilalihan aset lebuh raya PNB

28/08/2025 - 16:36
Lebuhraya SUKE/Gambar Prolintas Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – IJM Corp Bhd mengesahkan ia telah mengemukakan cadangan untuk mengambil alih aset lebuh raya milik Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Pengesahan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai kepada media selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) Kumpulan hari ini.
“Ya IJM Corp dijemput dan kami mengambil bahagian dalam mengemukakan dokumen RFP (permohonan cadangan), namun belum ada sebarang keputusan,” katanya.
Beliau bagaimanapun terus mengunci mulut dan enggan memberikan butiran lanjut termasuk bila RFP itu diumumkan, skopnya atau jangka masa keputusan itu diumumkan.
Bulan lalu, media melaporkan terdapat desas desus bahawa IJM dan AFA Prime Bhd – konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 muncul antara pihak yang bersaing untuk mendapatkan portfolio lebuh raya PNB.
Menurut sumber, PNB sedang mempertimbangkan pelupusan aset di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang memiliki Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), serta pegangan 51% dalam Prolintas Infra Business Trust.
Setakat ini, IJM memiliki Besraya (M) Sdn Bhd – konsesi Lebuhraya Sungai Besi, New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd.
Selain itu, IJM juga mempunyai pegangan 28.12% dalam WCE Holdings Bhd.
Semalam, IJM mengumumkan ia memperoleh perjanjian konsesi tambahan daripada Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakan kerja pembinaan bernilai RM1.4 bilion bagi sambungan NPE sepanjang 15 kilometer.
Pembinaan sambungan NPE2 dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan. IJM telah memperolehi pembiayaan projek daripada dua institusi kewangan tempatan untuk membiayai pembinaan.- DagangNews.com
standard

