IJM dan KKR meterai perjanjian konsesi tambahan projek sambungan NPE sepanjang 15 kilometer

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2025 • 5:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IJM dan KKR meterai perjanjian konsesi tambahan projek sambungan NPE sepanjang 15 kilometer

image is not available

27/08/2025 - 17:08

Gambar klia2.info Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Ogos IJM Corp Bhd melalui anak syarikat miliknya, New Pantai Expressway Sdn Bhd, menandatangani perjanjian konsesi tambahan (SCA) bersama kerajaan bagi projek sambungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) sepanjang 15 kilometer.

Perjanjian itu yang dimeterai antara Kementerian Kerja Raya dan New Pantai Expressway turut merangkumi pembinaan Plaza Tol Syed Putra baharu.

Kerajaan juga telah meluluskan cadangan IJM untuk membuat penyusunan semula kadar tol NPE sebagai sebahagian daripada SCA tersebut.

Ia dijangka menjimatkan kira-kira RM191 juta dalam pembayaran pampasan kepada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, projek sambungan NPE itu akan memudahkan perjalanan di selatan Kuala Lumpur, bermula dari Plaza Tol Pantai Dalam hingga Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

“Ia juga menghubungkan NPE dengan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibina.

“Projek ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan, tetapi juga meningkatkan akses ke pusat bandar, selari dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 untuk mengalihkan lalu lintas transit daripada pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembinaan sambungan NPE itu dijangka bermula pada suku keempat 2025 dan siap dalam tempoh 48 bulan.

IJM telah memperoleh kelulusan pembiayaan sehingga RM1.4 bilion daripada dua institusi kewangan bagi memastikan projek berjalan lancar.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut adalah contoh kejayaan perkongsian awam-swasta tanpa sokongan kewangan kerajaan, sambil memperkukuh jaringan lebuh raya di Lembah Klang.

“Apabila siap, ia akan menyokong pembangunan pesat di koridor Pantai Dalam–Bangsar–Lebuhraya Mahameru dan meningkatkan keterhubungan antara lebuh raya utama termasuk NPE, LIKE dan BESRAYA, selaras dengan visi kerajaan untuk rangkaian pengangkutan lebih efisien dan mesra rakyat,” katanya. - DagangNews.com

standard