Ikan malong bawa tuah, pemandu lori raih RM10,000

17 Sep 2026 • 5:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ikan malong bawa tuah, pemandu lori raih RM10,000
Amir Ali (dua dari kanan) bersama pemenang Pertandingan Memancing Hari Malaysia 2026 di Tambak Klebang.
Image from: Ikan malong bawa tuah, pemandu lori raih RM10,000
Sebahagian peserta yang menyertai Pertandingan Memancing Hari Malaysia 2026 di Tambak Klebang.

KLEBANG – Siapa sangka ikan malong yang lazimnya dianggap ikan gred rendah dan digunakan sebagai bahan membuat bebola ikan membawa tuah kepada seorang pemandu lori apabila dinobatkan juara Pertandingan Memancing Hari Malaysia 2026 di Tambak Klebang di sini pada Khamis.

Muhammad Hairee Ali, 37, berjaya menewaskan hampir 500 peserta selepas mendaratkan ikan malong seberat 2.730 kilogram (kg), sekali gus membawa pulang hadiah utama RM10,000.

Lebih menarik, dia hanya menggunakan hirisan ikan cabuk atau anak ikan parang sebagai umpan sebelum jorannya disambar ikan berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan Muhammad Syafiq Abd Rahim, 34, dari Melaka menduduki tempat kedua selepas menaikkan ikan todak seberat 1.715kg dan membawa pulang RM2,000.

**media[3650861]**

Tempat ketiga pula menjadi milik Mohd Huzairey Adon, 41, dari Johor yang berjaya menjinakkan ikan pari seberat 0.88kg, sekali gus menerima hadiah RM1,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengurus Joran Unggul, Amir Ali Mohamad.

Mengulas detik kemenangan, Muhammad Hairee berkata, dia berdebar ketika jorannya disambar sebelum berjaya mendaratkan ikan berkenaan.

“Ketika joran disambar memang rasa berdebar-debar. Bila dah naik, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

“Tapi masa itu saya tak yakin lagi boleh jadi juara sebab di Tambak Klebang ini biasanya ikan besar-besar.

“Selepas pertandingan tamat pada jam 1 tengah hari, saya amat bersyukur apabila dimaklumkan ikan yang didaratkan itu kekal sebagai tangkapan terberat,” katanya.

Menurut Muhammad Hairee, kemenangan berkenaan merupakan pencapaian terbesarnya sepanjang menyertai pertandingan memancing dan menganggapnya sebagai rezeki buat keluarga.

“Ini rezeki keluarga. Saya belum tahu lagi hadiah ini nak buat apa, namun yang penting kemenangan ini memang sangat bermakna bagi saya,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved