
Seat panas Aruba.it Racing – Ducati akhirnya terjawab apabila Iker Lecuona diumumkan sebagai pelumba baharu untuk musim 2026 Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK). Pelumba Sepanyol itu akan meninggalkan Honda HRC selepas empat musim, menyertai Nicolo Bulega dalam pasukan kilang Ducati dengan jentera baharu Panigale V4R.
Lecuona, 25, mula mencipta nama dalam Moto2 sebelum naik ke MotoGP pada 2020 bersama Tech3 KTM. Selepas dua musim, beliau beralih ke WorldSBK bersama Honda pada 2022. Sepanjang empat tahun, Lecuona berjaya merekodkan satu petak utama (pole) dan dua podium, termasuk keputusan terbaik di Assen 2022 dan Estoril 2024.
Ducati dalam kenyataannya turut mengesahkan perpisahan dengan juara dua kali dunia, Alvaro Bautista, yang selama lima tahun membawa 63 kemenangan dan 120 podium bersama Panigale V4R. Bautista meninggalkan rekod sebagai pelumba Ducati paling berjaya dalam sejarah WorldSBK.
Honda pula mengucapkan penghargaan kepada Lecuona atas dedikasi dan profesionalisme sepanjang bersama pasukan, termasuk sumbangan dalam beberapa perlumbaan MotoGP serta kejayaan di Suzuka 8 Hours 2022.
Dengan penyertaan Lecuona, musim 2026 dijangka lebih sengit apabila pelumba muda Sepanyol itu menggalas cabaran besar di atas “seat panas” Ducati, menggantikan legenda yang meninggalkan nama besar di sana.
The post IKER LECUONA GANTI BAUTISTA DI PASUKAN ARUBA.IT RACING – DUCATI 2026 appeared first on TW Media.
