Iklan Akan Dipaparkan Di Threads Bermula Minggu Depan

TechnologyBusiness & Finance
22 Jan 2026 • 10:46 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Meta akan mengaktifkan paparan iklan di Threads ke semua pengguna global bermula minggu depan. Tahun lalu ia diuji di negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun dengan ia turut diaktifkan seketika di Malaysia selama beberapa minggu sebelum dihentikan. Pengiklanan akhirnya diaktifkan kepada semua lebih dua tahun selepas platform dilancarkan pada Julai 2023.

image is not available

Tag “sponsored” akan dipaparkan pada kandungan iklan di Threads bagi membezakannya dengan kandungan yang dihasilkan oleh pengguna. Untuk tujuan pengiklanan, Threads menggunakan sistem pengiklanan Meta yang membolehkan pengguna memaparkan iklan rentas platform, termasuk di Facebook dan Instagram.

Format iklan yang ditawarkan ialah gambar statik, video, carousel, katalog dan pautan ke stor aplikasi peranti. Minggu ini melihat Threads mempunyai jumlah pengguna lebih tinggi berbanding X di aplikasi telefon pintar dengan lebih 141.5 juta pengguna aktif harian (DAU). Jika ini berterusan, Threads akan menjadi satu lagi sumber pendapatan besar kepada Meta.