Iktibar RS-1: Perlunya projek infra impak tinggi, pembangunan bakat tempatan

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Iktibar RS-1: Perlunya projek infra impak tinggi, pembangunan bakat tempatan

SHAH ALAM, 7 OGOS: Keperluan projek infrastruktur dan kepentingan bakat tempatan antara iktibar yang diperolehi daripada pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kata Dato' Menteri Besar.

"Antara iktibar utama yang diterima pasukan kami daripada pengalaman sepanjang RS-1 adalah kepentingan projek infrastruktur kritikal yang berimpak tinggi.

"Selain itu, kepentingan bakat tempatan yang sepadan dengan keperluan industri juga merupakan antara tunjang utama supaya Selangor tidak bergantung hanya kepada pelaburan asing (FDI) dan melebihi nisbah pelaburan tempatan," kata Dato' Seri Amirudin Shari pada pembentangan RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau turut memaklumkan tujuh daripada 16 petunjuk berkaitan aspek ekonomi, tadbir urus, sosial dan kelestarian yang digariskan dalam RS-1 masih belum dicapai.

Berdasarkan Kad Laporan RS-1, purata tahap kualiti udara negeri dalam tempoh 2023-2024 adalah 21.56 µg/m³ berbanding sasaran ditetapkan RS-1 sebanyak 15 µg/m³.

Sementara itu, purata kadar kitar semula dalam tempoh 2021 hingga 2025 adalah 7.7 peratus, berbanding sasaran RS-1 sebanyak 15 peratus.

"Begitu juga dari segi kadar kemiskinan mutlak. Dalam RS-1, kita menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus, tetapi kita mampu mengurangkan kadar ini daripada 1.7 peratus sebelum RS-1 kepada kadar 0.9 peratus," katanya.

Menyentuh isu bantuan kebajikan kerajaan kepada rakyat, Amirudin menegaskan ia perlu dilihat daripada impak positif jangka panjang yang boleh mengangkat taraf kehidupan penerima.

"Dari sudut sosial pula, bantuan kebajikan kerajaan perlu dilihat dari aspek kemampanan, keberkesanan, serta sudut pemberdayaan sama ada mereka yang menerima bantuan setelah dua hingga tiga tahun dapat keluar daripada kebergantungan bantuan dan menerima peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih berpatutan."

Selain itu, aspek tadbir urus turut merekodkan tiga petunjuk tidak mencapai sasaran RS-1 termasuk Penarafan Sistem Bintang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perkongsian Perkhidmatan Kerajaan Digital End-to-End.

"Tahap pelaksanaan dan kemampuan sistem kerajaan untuk merealisasikan dasar mempunyai ruang besar untuk dipertingkatkan, baik dari perkhidmatan digital, prestasi PBT, malah prestasi negeri dari segi pelaksanaan projek pemacu ataupun 20 game-changers yang ditetapkan dalam RS-1," katanya.

Hanya empat PBT mencapai sasaran skor lebih atau sama 95 peratus untuk penarafan itu berbanding sasaran semua 12 PBT ditetapkan RS-1.

Kemajuan Projek Pemaju Perubahan RS-1 pula merekodkan pencapaian 67.87 peritus dan perkongsian perkhidmatan digital kerajaan mencapai 33.77 peratus berbanding sasaran 85 peratus.

Dato’ Menteri Besar turut menyentuh tentang cabaran perubahan iklim terutama isu saliran punca banjir kilat yang perlu ditangani dengan lebih berkesan, walaupun negeri berjaya merekodkan tiada gangguan bekalan air pada 2025, hasil pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah yang bermula pada RS-1.

”Kita masih perlu meningkatkan pengurusan saliran air bagi mengurangkan insiden banjir, terutamanya banjir kilat yang menyusahkan kehidupan rakyat termasuk pelaksanaan lebih menyeluruh berbentuk amaran awal kepada rakyat,” katanya.

RS-2 dibentangkan hari ini dan akan dibahaskan bermula Isnin depan pada sidang DNS. Ia adalah rancangan pembangunan lima tahun Selangor bermula 2026 hingga 2030.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved