ILO nafi iktiraf sistem pengurusan berpusat pekerja asing Bestinet

LocalPolitics
12 May 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ILO nafi iktiraf sistem pengurusan berpusat pekerja asing Bestinet Image from: ILO nafi iktiraf sistem pengurusan berpusat pekerja asing Bestinet amree12/05/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 MeiPertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menafikan dakwaan Bestinet Sdn Bhd konon sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS) syarikat tersebut sudah pun diiktiraf.


Menerusi kenyataan rasmi, organisasi global di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan sistem yang dimiliki syarikat ini tidak pernah menerima pengiktirafan termasuk oleh badan dunia itu sendiri.


Menurutnya, anugerah World Summit Award yang diterima FWCMS pada 2017 sebenarnya dianugerahkan oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, International Center for New Media dan bukannya oleh PBB.


“Anugerah ini sememangnya sah, namun ia tidak membawa maksud pengiktirafan rasmi oleh PBB,” kata ILO, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti platform pengurusan pekerja asing itu.


Penjelasan ini susulan kenyataan firma guaman Lui & Bhullar mewakili Bestinet konon FWCMS menerima 'United Nations World Summit Award 2017' sebagai pengesahan global terhadap sistem berkenaan.


Firma tersebut turut mendakwa yang rangka kerja tadbir urus dan reka bentuk sistem itu dibangunkan selaras dengan prinsip serta dasar ILO serta International Organization for Migration (IOM).


Bagaimanapun, ILO dalam kenyataan berkenaan turut memperjelaskan yang pihaknya langsung tidak pernah mengesahkan keupayaan atau kelayakan Bestinet untuk dapat melaksanakan sistem tersebut.


"Pejabat serantau pertubuhan ini di Bangkok, Thailand hanya menerima pembentangan mengenai cadangan FWCMS pada 10 April 2013 dan bukannya pada 2012 seperti didakwa syarikat itu," jelasnya lagi.


Pihak ILO ketika itu hanya berpandangan cadangan tersebut 'dibentangkan dengan baik, inovatif dan komprehensif' serta menunjukkan kefahaman terhadap cabaran pengurusan migrasi buruh warga asing.


Namun ujarnya, komen tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau pengesahan terhadap syarikat, dan menegaskan maklum balas yang diberikan hanya merujuk kepada konsep awal cadangan.


"Ia bukannya melibatkan isu pelaksanaan sebenar FWCMS atau operasi keseluruhan Bestinet," katanya dan mengakui ada bersetuju mendengar cadangan Bestinet mengenai system tersebut pada ketika itu. 


ILO menambah, pihaknya hanya berminat menilai sebarang inisiatif berasaskan hak pekerja bagi memperbaiki aliran migrasi buruh dan perlindungan pekerja asing di seluruh dunia. - DagangNews.com

Terkini standard