amree12/05/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei — Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menafikan dakwaan Bestinet Sdn Bhd konon sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS) diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menerusi kenyataan rasmi, organisasi global di bawah badan dunia tersebut menegaskan sistem berkenaan yang dimiliki syarikat itu tidak pernah menerima pengiktirafan daripada PBB sendiri.
Menurutnya, anugerah World Summit Award yang diterima FWCMS pada 2017 sebenarnya dianugerahkan oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, International Center for New Media dan bukannya oleh PBB.
“Anugerah ini sememangnya sah, namun ia tidak membawa maksud pengiktirafan rasmi oleh PBB,” kata ILO, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti platform pengurusan pekerja asing itu.
Penjelasan ini susulan kenyataan firma guaman Lui & Bhullar mewakili Bestinet konon FWCMS menerima 'United Nations World Summit Award 2017' sebagai pengesahan global terhadap sistem berkenaan.
Firma tersebut turut mendakwa yang rangka kerja tadbir urus dan reka bentuk sistem itu dibangunkan selaras dengan prinsip serta dasar ILO serta International Organization for Migration (IOM).
Bagaimanapun, ILO dalam kenyataan berkenaan turut memperjelaskan yang pihaknya langsung tidak pernah mengesahkan keupayaan atau kelayakan Bestinet untuk dapat melaksanakan sistem tersebut.
"Pejabat serantau pertubuhan ini di Bangkok, Thailand hanya menerima pembentangan mengenai cadangan FWCMS pada 10 April 2013 dan bukannya pada 2012 seperti didakwa syarikat itu," jelasnya lagi.
Pihak ILO ketika itu hanya berpandangan cadangan tersebut 'dibentangkan dengan baik, inovatif dan komprehensif' serta menunjukkan kefahaman terhadap cabaran pengurusan migrasi buruh warga asing.
Namun ujarnya, komen tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau pengesahan terhadap syarikat, dan menegaskan maklum balas yang diberikan hanya merujuk kepada konsep awal cadangan.
"Ia bukannya melibatkan isu pelaksanaan sebenar FWCMS atau operasi keseluruhan Bestinet," katanya dan mengakui ada bersetuju mendengar cadangan Bestinet mengenai system tersebut pada ketika itu.
ILO menambah, pihaknya hanya berminat menilai sebarang inisiatif berasaskan hak pekerja bagi memperbaiki aliran migrasi buruh dan perlindungan pekerja asing di seluruh dunia. - DagangNews.com






