Imarah bulan Ramadan

10 Mar 2026 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketua Seksyen Pemerkasaan Sahsiah dan Psikologi, Jabatan Modal Insan Kumpulan TH, Shahrul Azam Noor Zeli (tiga dari kiri) turut hadir semasa majlis penyampaian cenderahati kepada wakil peserta kumpulan Taddarus pada Majlis Khatam al-Quran dan TH Quran Hour.

SHAH ALAM - Sebanyak 142 kumpulan melibatkan 913 warga Tabung Haji menyertai Program Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

Ketua Bahagian Pengurusan Modal Insan Menanggung Kerja Ketua Pegawai Modal Insan Tabung Haji, Mohd Norber Kassim berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada aktiviti tadarus al-Quran yang dijalankan secara berterusan pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.

Menurutnya, ia melibatkan warga Tabung Haji di setiap jabatan dan bahagian seluruh negara.

"Program ini bertujuan menggalakkan pembacaan al-Quran dalam kalangan warga Tabung Haji dan kami mula aktiviti ini seawal bulan Rejab.

"Alhamdulillah, semua kakitangan memberi kerjasama dan sokongan padu bagi menjayakan program ini.

"Semoga usaha untuk memupuk budaya membaca al-Quran dalam kalangan warga Tabung Haji dapat diteruskan pada tahun- tahun akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Majlis khatam al-Quran yang diadakan di Dewan Besar Menara Tabung Haji itu di dipimpin oleh pendakwah bebas, Jalal Zaiki.

Turut diadakan sesi tadabur surah al-Muzzammil yang disampaikan oleh pensyarah Fakulti al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Arif Musa.

Tambah Mohd Norber, program yang dilaksanakan saban tahun khususnya sepanjang Ramadan itu diharap terus diberkati ALLAH SWT.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, program tadarus al-Quran ini telah diperluaskan dengan melibatkan lebih ramai warga Tabung Haji setiap tahun di seluruh negara.

"Semoga ia menjadi pemangkin untuk menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat," ujarnya.