
SEREMBAN - Lebih 300 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Seremban dikhuatiri menjadi mangsa dalam kes penyebaran imej bogel palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Peguam yang mewakili keluarga pelajar terbabit, Ng Kian Nam berkata, jumlah sebenar mangsa perlu dikenal pasti dan diumumkan secara telus bagi memastikan skala kejadian itu dapat dipastikan.
Menurut beliau, lima laporan polis telah dibuat setakat ini berhubung kes berkenaan.
“Beberapa ibu bapa lain turut dilaporkan dipanggil untuk membantu siasatan selepas anak masing-masing disyaki menjadi mangsa,” katanya.
Menurut Ng, pihaknya juga menerima maklumat mengenai satu lagi laporan polis yang dibuat Januari lalu oleh seorang pelajar dari sekolah sama.
Pelajar terbabit katanya, mengesyaki imej bogel dirinya telah tersebar menerusi platform media sosial Twitter.
Sehubungan itu, Ng menggesa ibu bapa yang mengesyaki anak mereka turut menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Jelasnya, jumlah melebihi 300 pelajar itu dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dalam satu pertemuan yang diadakan sebelum ini dengan penglibatan ketiga-tiga pihak.
Beliau turut meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan pihak pengurusan sekolah meneliti langkah yang perlu diambil berhubung kemungkinan suspek kembali ke sekolah selepas dibebaskan.
“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar mengenai keselamatan mereka, justeru pihak berkuasa pendidikan dan pengurusan sekolah perlu memastikan semua prosedur berkaitan dilaksanakan dengan sewajarnya,” tegasnya.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas imej pelajar perempuan dipercayai diubah suai menggunakan AI sehingga kelihatan seperti gambar bogel ditemukan dalam telefon bimbit seorang pelajar lelaki.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, dilaporkan berkata, pihaknya menerima lima laporan polis antara 20 hingga 23 Ogos lalu.
Kes tersebut membabitkan mangsa berusia antara 14 hingga 17 tahun. - Getaran, 19 Oktober 2026





