STR bantu keluarga berpendapatan rendah urus perbelanjaan harian dengan lebih teratur - Pensyarah

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 11:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

STR bantu keluarga berpendapatan rendah urus perbelanjaan harian dengan lebih teratur - Pensyarah Image from: STR bantu keluarga berpendapatan rendah urus perbelanjaan harian dengan lebih teratur - Pensyarah liza15/10/2026 - 11:42 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion dalam Bajet 2027 dijangka memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

 

Peruntukan itu menyediakan sokongan kewangan tambahan kepada penerima bantuan ketika perbelanjaan keperluan harian terus menjadi antara cabaran utama isi rumah, sekali gus membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik.

 

Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Terengganu, Noorazlina Ahmad berkata walaupun bantuan itu bukanlah penyelesaian jangka masa panjang, namun pemberiannya amat bermakna kepada golongan sasar.

 

“Kita tahu tentang peningkatan kos sara hidup termasuk pengangkutan, pendidikan, penjagaan anak dan keperluan barang dapur yang semakin menekan. Justeru pemberian STR ini sangat membantu melegakan beban kewangan keluarga yang berpendapatan rendah.

 

“Selain itu, bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun kepada penerima STR dapat membantu keluarga merancang perbelanjaan dengan lebih teratur. 

 

“Dari perspektif ekonomi, bantuan ini turut menyokong kuasa beli rakyat dan membantu memenuhi keperluan asas secara lebih konsisten. Kesannya, tekanan kewangan isi rumah dapat dikurangkan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan hidup yang lebih baik. Walau bagaimanapun, bantuan tunai perlu disokong oleh usaha meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan agar kesejahteraan rakyat dapat diperkukuh secara mampan,” katanya ketika dihubungi DagangNews.

 

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan antara inisiatif kerajaan yang penting dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup. Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober 2026, peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun sebelumnya, sekali gus memperluas manfaat kepada golongan yang memerlukan. 

 

t
Noorazlina Ahmad

 

SARA beri sokongan tambahan kepada penerima STR

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu berkata, penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

 

Selain itu, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima dua bayaran SARA MADANI sebanyak RM100 setiap satu.

 

Langkah itu memperluas sokongan kewangan kepada rakyat, dengan bantuan berkenaan berpotensi membantu menampung sebahagian perbelanjaan harian mengikut keperluan masing-masing.

 

Peningkatan peruntukan bantuan itu juga dilihat penting dalam keadaan isi rumah perlu membahagikan pendapatan antara pembelian barangan keperluan, bil bulanan dan komitmen keluarga yang lain.

 

t
Profesor Madya Dr Mustazar Mansur

 

Bantuan penting, pendapatan turut perlu ditingkatkan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, bantuan tunai dan subsidi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, namun perlu disokong langkah jangka panjang bagi meningkatkan kemahiran, produktiviti dan pendapatan rakyat.

 

Menurutnya, peningkatan gaji serta persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lebih baik penting supaya penerima bantuan dapat membina kedudukan kewangan yang lebih stabil dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.

 

“Jumlahnya dapat meringankan komitmen seperti ansuran rumah dan kenderaan, pendidikan dan penjagaan anak, insurans perubatan serta keperluan ibu bapa yang semakin berusia,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved