Samsung akan melancarkan siri peranti pintar boleh lipat terbaru mereka, iaitu Samsung Galaxy Z Fold 7, Samsung Galaxy Z Flip 7 dan Samsung Galaxy Z Flip 7 FE pada hari esok. Terkini, peniris maklumat peranti terkemuka, Roland Quandt telah sekali lagi meniriskan imej pemasaran dan juga senarai spesifikasi untuk kesemua peranti pintar boleh-lipat mereka.
Samsung belum mengesahkan penggunaan cip pemprosesan manakah yang akan menguasakan Samsung Galaxy Z Fold 7, tetapi jangkaan orang ramai ialah Qualcomm Snapdragon Elite. Ia juga akan tampil dengan memori LPDDR5X 12GB dan pilihan storan 256GB dan 512GB.
bonus #1 #zfold7
Apa yang dapat diperlihatkan juga ialah sistem tri-kamera dimana kamera utamanya dilihat tampil dengan sensor 200MP, manakala dua lensa lagi hadir dengan sensor 12MP dan 10MP. Menariknya, Samsung dilihat mengekalkan penggunaan bateri 4400mAH yang sama seperti model sebelum ini dengan pengecasan pantas 25W. Samsung Galaxy Z Fold 7 juga akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna baru, termasuklah Jetblack, Silver Shadow dan Blue Shadow.

Dari segi paparan skrin pula, Samsung nampaknya mengekalkan rekaan paparan 8 inci apabila dibuka, menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi QXGA+ (2184×1968 pixel)
Satu lagi pemerhatian yang diperlihatkan oleh Roland Quandt ialah Samsung Galaxy Z Fold 7 sekali lagi tidak akan hadir dengan stylus S-Pen, dan nampaknya tidak akan hadir dengan aksesori tambahan untuknya.
bonus #3 #zflip7
Beralih kepada Samsung Galaxy Z Flip 7, peranti ini hadir dengan rekaan yang lebih ranggi dengan pilihan warna unik seperti Jetblack, Shadow Blue dan Coralred. Apabila lipatan peranti ini dibuka, ia dilihat menggunakan paparan skrin Dynamic AMOLED 2X dengan saiz 6.9 inci pada resolusi FHD+ (2520×1600 pixel) dengan nilai kecerahan setinggi 2600 nit.

Skrin belakang Infinity FlexWindow pada peranti Z Flip 7 juga memperlihatkan naik-taraf yang menarik dimana paparan skrin tersebut dilihat menyelubungi keseluruhan panel belakang,dan di sekeliling modul kamera dwi-lensa peranti ini.
Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Samsung Exynos 2500 dan hadir dengan memori LPDDR5X 12GB, dan pilihan storan yang bermula dari 256GB. Sekali lagi, ia menggunakan sistem kamera dwi-lensa yang hadir dengan sensor 50MP dan 12MP terbina. Menariknya, bateri pada peranti Z Flip 7 hanya 100mAH lebih rendah daripada apa yang diperlihatkan pada peranti Z Fold 7 pada 4300mAH dengan kelajuan pengecasan 25W yang sama.
bonus #4 #zflip7fe
Pada tahun ini, Samsung dilihat memperkenalkan sebuah lagi model Samsung Galaxy Flip, iaitu Samsung Galaxy Z Flip 7 FE yang dilihat hadir dengan rekaan peranti boleh-lipat mereka tahun lepas, iaitu Samsung Galaxy Z Flip 6. Diantara perbezaan yang dapat diperlihatkan pada peranti ini hadir melalui spesifikasi dalaman dan juga pilihan warna peranti.
Menurut butiran daripada senarai spesifikasi yang tertiris, peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Samsung Exynos 2400 dengan memori LPDDR5X sebanyak 12GB dan juga pilihan storan yang bermula dari 128GB.

Dalam pada itu, pilihan warna pada peranti ini juga adalah lebih terhad, dimana ia hadir dalam pilihan warna hitam dan putih sahaja, tidak seperti model sebelumnya yang memperlihatkan lima pilihan warna.
Setakat ini, nampaknya satu-satunya butiran yang belum tertiris lagi untuk peranti-peranti ini ialah harganya, yang akan diperlihatkan di acara pelancaran peranti pada hari esok.
