
Samsung dijadualkan memperkenalkan telefon boleh lipat terbaharu Galaxy Z Fold 8 dan Galaxy Z Flip 8 tidak lama lagi, pada 22 Julai 2026. Namun, menjelang pelancaran rasmi, imej kedua-dua peranti tersebut telah pun tertiris dan memperlihatkan reka bentuk serta beberapa spesifikasi utamanya.
Pembocor maklumat terkenal, Evan Blass atau lebih dikenali sebagai EVLeaks, telah berkongsi imej render yang jelas bersama bahan promosi rasmi yang mendedahkan beberapa butiran perkakasan untuk siri Galaxy Z Fold 8.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, Samsung dijangka memperkenalkan dua varian Galaxy Z Fold 8. Salah satunya tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih lebar, manakala model skrin besar yang menjadi penerus kepada siri Fold sebelum ini akan dikenali sebagai Galaxy Z Fold 8 Ultra.
Kedua-dua model ini juga dijangka dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, iaitu cip yang sama digunakan pada Galaxy S26 Ultra.
Galaxy Z Fold 8 guna rekaan lebih lebar

Berdasarkan imej yang tertiris, Galaxy Z Fold 8 menampilkan reka bentuk yang lebih berkotak dan lebar, hampir menyerupai Huawei Pura X.
Di bahagian belakang, ia dilengkapi sistem dwikamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP serta kamera ultralebar 50MP.
Untuk swafoto dan panggilan video, Samsung turut menyediakan kamera 10MP pada kedua-dua skrin luar dan skrin dalam.
Galaxy Z Fold 8 Ultra kekalkan rekaan Fold 7, tetapi kamera dipertingkat
Sementara itu, Galaxy Z Fold 8 Ultra dilihat mengekalkan reka bentuk yang hampir sama seperti Galaxy Z Fold 7.
Dari segi kamera, ia masih menggunakan kamera utama 200MP bersama kamera telefoto 10MP yang menyokong zum optikal 3x. Tetapi, kamera ultralebar 12MP kini dinaik kepada resolusi lebih tinggi 50MP. Kamera swafoto pula kekal menggunakan sensor 10MP untuk kedua-dua skrin luar dan dalam.

Walaupun spesifikasi penuh masih belum diumumkan, imej promosi yang dikongsikan mengesahkan kedua-dua model menawarkan hayat bateri yang lebih baik berbanding Galaxy Z Fold 7.
Galaxy Z Fold 8 dikatakan mampu memainkan video sehingga 26 jam, manakala Galaxy Z Fold 8 Ultra pula sehingga 27 jam.
EVLeaks turut mengesahkan bahawa Galaxy Z Fold 8 Ultra akan dilengkapi bateri 5,000mAh. Jika benar, ini merupakan peningkatan kapasiti bateri terbesar untuk siri Galaxy Z Fold, memandangkan Samsung masih menggunakan bateri 4,400mAh yang sama sejak Galaxy Z Fold 3.

Siri Samsung Galaxy Z terbaharu ini akan diperkenalkan secara rasmi dalam acara Samsung Galaxy Unpacked yang bakal berlangsung pada 22 Julai 2026
Untuk mereka yang terlepas, Samsung Malaysia kini telah pun membuka pendaftaran minat untuk peranti akan datang mereka, dan menawarkan pelbagai ganjaran termasuk peluang memenangi hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai sehingga RM62,944.


