
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) membuat laporan polis susulan satu hantaran tular di media sosial berhubung dakwaan pengalaman seorang pemohon ketika mendapatkan perkhidmatan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan semakan dalaman terhadap perkara yang dibangkitkan.
Menurut beliau, semakan dilakukan dengan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan daripada pegawai yang bertugas ketika kejadian.
“Hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan yang diperoleh Jabatan.
“Jabatan memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, Zakaria berkata JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berkaitan perkhidmatan Jabatan.
“Perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham.
“JIM kekal komited untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, JIM pada masa sama akan terus memastikan perkhidmatan yang diberikan berhemah, berintegriti serta mengutamakan kepentingan masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Imigresen buat laporan polis dakwaan layanan di UTC Pudu Sentral appeared first on Kosmo Digital.






